Berita

Perhimpunan perkauman di Hari Malaysia, polis diminta bertindak tegas

PETALING JAYA, 11 SEPT: Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemimpin tertinggi UMNO yang menggalakkan perhimpunan perkauman yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di Hari Malaysia pada 16 September ini harus dikecam sekeras-kerasnya.

Ahli Majlis Eksekutif Sosialis Muda DAP, Muhammad Shakir Ameer, berkata sokongan pimpinan UMNO itu, termasuk daripada mereka yang merupakan menteri kanan kerajaan mendedahkan sikap hipokrit Barisan Nasional yang kononnya berjuang untuk semua kaum.

Katanya, kenyataan seorang pemimpin UMNO Jamal Md Yunos yang tidak menolak kemungkinan sesetengah peserta perhimpunan akan mengamuk kerana ‘beremosi’ perlu dikutuk dan dipandang serius oleh pihak polis kerana ini melibatkan keselamatan umum.

“Kami tidak mempersoalkan usaha untuk berhimpun kerana ia adalah hak setiap rakyat Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan. Namun, kami menyeru pihak polis untuk mengutamakan dan memastikan keselamatan orang ramai di seluruh Kuala Lumpur terutamanya pada cuti umum Hari Malaysia,” ujarnya, mengingatkan tentang tema perhimpunan itu yang merupakan provokasi perkauman.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak polis benar-benar menjaga keselamatan rakyat, dan bertindak tegas terhadap anasir-anasir perkauman.

Menurut beliau, orang awam termasuk umat Islam sendiri berada dalam ketakutan, dan mereka tidak berani untuk turun ke Kuala Lumpur pada hari tersebut kerana bimbang akan keselamatan masing-masing.

Berbeza dengan perhimpunan Bersih 4 sebelum ini yang mahu kepada sistem pentadbiran yang bersih serta bebas rasuah yang sesuai dan baik untuk semua rakyat, Shakir menjelaskan bahawa, perhimpunan 16 September ini amat bersifat perkauman.

“pihak penganjur tidak mengambil kira bahawa perhimpunan provokasi sebegini akan merugikan ekonomi tempatan, mencetuskan ketegangan antara kaum tanpa sebab dan menakutkan orang ramai termasuk orang Islam.

“Ini juga akan menjejaskan Hari Malaysia yang sepatutnya mempromosikan harmoni sesama rakyat Malaysia,” katanya, turut mengingatkan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak juga menolak ketuanan satu kaum. – Roketkini.com