Berita

DAPSY kecam UMNO bakar patung pemimpin DAP

SEREMBAN, 14 OGOS: DAP kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membakar patung pemimpin-pemimpin DAP di program UMNO Bahagian Kota Bahru, Kelantan.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Teo Kok Seong, berkata beliau telah mengarahkan pergerakan muda parti itu membuat laporan polis di seluruh negara.

“Saya berharap Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan yang tegas terhadap tindakan yang mengancam ketenteraman orang awam.

“Ketua Polis negara harus bertindak bijak dalam menjalankan tugas mereka. Jika tidak, beliau akan mencemar imej pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah telah membuat laporan polis tentang insiden itu di sini hari ini.

20150914_150850(0)-1_resizedBeliau juga mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi Barisan Nasional menyatakan pendirian beliau terhadap insiden membakar patung pemimpin DAP di program UMNO tersebut.

Katanya, tindakan membakar tersebut jelas merupakan satu tindakan sengaja yang diatur oleh pemimpin Umno negeri dengan berniat “membakar” sentimen pihak-pihak tertentu.

“Kedangkalan UMNO Kelantan dalam insiden ini juga jelas merupakan satu tindakan menyokong perhimpunan baju merah yang sengaja mahu membangkitkan politik perkauman,” tambah beliau. – Roketkini.com