Rencana

Hari Malaysia untuk rakyat berjiwa bersih, elak dirasuk “syaitan merah”

Hari Malaysia amat bermakna buat kita. Namun antara perkara yang menjadi ingatan terpahat dalam memori saya ialah, hari Malaysia disambut dengan cuti umum yang suka atau tidak, kita mengiktiraf jasa dan sumbangan orang yang hari ini telah disumbat ke dalam penjara atas segala fitnah jahat oleh penguasa dengan maksud mengekalkan kuasa.

Ya, Saudara Anwar Ibrahim bersama-sama komitmen pimpinan Pakatan Rakyat satu ketika dahulu telah menjadi faktor seluruh rakyat Malaysia menikmati cuti umum setiap kali hari Malaysia kunjung tiba.

Saya masih ingat pada September 2008 apabila beliau mencadangkan agar 5 negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat ketika itu menjadikan tarikh 16 September sebagai cuti umum.

“PR tidak harus menipu fakta sejarah di mana tarikh tersebut merupakan tarikh pembentukan Malaysia, sama pentingnya dengan tarikh kemerdekaan 31 Ogos,” lebih kurang ujar beliau.

 

Solidariti rakyat semua bangsa vs perkauman sempit

Kita perlu sedar, hari Malaysia bukanlah semata-mata tentang cuti dan memperingati penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia sahaja. Jauh dari itu, hari Malaysia menjadi simbol kepada kebersamaan dan solidariti buat seluruh rakyat rentas ras, agama, bahasa dan sempadan kenegerian dalam mengangkat Malaysia sebagai ‘rumah’ kita bersama.

Lantas, himpunan merah dengan tema penyatuan bangsa dan agama yang diseru atas semangat perkauman sempit serta prejudis yang dianjurkan hari ini merupakan tindakan melacur semangat sebenar hari Malaysia yang luhur.

Lebih malang, penguasa yang ada hari ini turut menambah luka hari Malaysia dengan memandulkan fungsi bernegara di Malaysia apabila kita melihat malafide institusi-institusi yang wujud dalam negara.

Pihak berkuasa, kehakiman, legislatif dan rata-rata institusi yang sebelum ini lantang mengharamkan serta menyekat perhimpunan rakyat dalam Bersih 4 yang lalu seakan-akan menjadi bisu dan bertukar nada terhadap perhimpunan merah yang dianjurkan hari ini.

Saya tiada masalah dengan agenda penyatuan sesiapa sekalipun. Namun apabila agenda penyatuan tersebut dilaung-laungkan atas nada perkauman sempit yang jahat, kebencian serta prejudis terhadap sesama warga yang lain, saya punya masalah.

 

Rakyat tidak peduli “syaitan merah”

Hak berhimpun secara aman adalah hak seluruh warga. Namun menyebarkan sentimen perkauman sempit sepertimana yang dilaung-laungkan menjelang perhimpunan merah hari ini adalah ibarat menyeru masuk ‘syaitan merah’ ke dalam mimpi indah seorang anak kecil sebelum tidur. Mimpi yang menakutkan. Sampai bila ‘syaitan merah’ ini akan diseru-seru?

Pun begitu saya amat yakin, dalam keadaan Malaysia yang sedang tenat politik dan ekonomi kini, rakyat bijak menilai.

Saya ingin menyinggung dapatan kajian terkini Merdeka Center bersabit himpunan merah yang menunjukkan aras 53% rakyat tidak menyokongnya. Namun, 21% rakyat menyatakan ketidakpastian sama ada menyokong ataupun tidak.

Bagi saya, 21% ini adalah mereka yang menjadi bingung dengan himpunan merah yang melaung-laungkan serapah perkauman sempit sedangkan ia amat kontra dari kematangan rakyat Malaysia hari ini yang mengimpikan Malaysia menjadi sebuah ‘rumah’ yang rukun dan harmoni tanpa mengenal warna kulit.

Saya percaya pada kematangan rakyat. Saya juga percaya bahawa semua rakyat Malaysia meskipun berbeza agama, bangsa dan bahasa mengimpikan sebuah kehidupan yang harmoni, saling menghormati selari dengan nilai manusiawi yang dikurniakan Tuhan ke dalam diri.

Melainkan mereka yang hatinya dikuasai dengan sifat tamak, gila kuasa, prejudis dan dirasuk syaitan sepertimana ‘syaitan merah’ yang muncul menjelang 16 September 2015.

Buat seluruh rakyat Malaysia yang hatinya bersih dan berjiwa luhur, hari Malaysia adalah hari kita semua, hari buat rakyat Malaysia. Buat seluruh Bangsa Malaysia.

Selamat hari Malaysia! – Roketkini.com