Rencana

Himpunan baju merah: Manifestasi jiwa hamba

 

Sejurus tamat perhimpunan kumpulan baju merah, saya meneliti beberapa laporan, banyak perkara dan ucapan yang klise seperti mana ceramah-ceramah dalam perhimpunan yang ada.

Perhimpunan ini jelas sekali mahu mencari peluang untuk menunjukkan rasa marah penganjur (Melayu) kepada ‘Cina’. Tetapi ia diskopkan kepada ‘Cina DAP’, mungkin jika Cina sahaja, bimbang rakan-rakan MCA dan Gerakan akan marah. Contohnya, Ibrahim Ali seperti dilaporkan berkata, “Dulu kita bukan masyarakat majmuk tetapi melalui rundingan dan tolak ansur kita menerima kaum lain. Kita bagi mereka kerakyatan. Kita bagi kerakyatan kita ingat mereka berterima kasih. Tetapi saya tak salahkan orang Cina. Yang merosakkan perpaduan ini adalah DAP, yang lahir dari PAP Singapura .”

Seperti selalu, retorik Ibrahim Ali ini memang satu ayat ‘mujarobat’ paling popular untuk hati-hati yang hasad. Siapakah ‘kita’ yang dimaksudkan oleh Ibrahim Ali ini? Dia dan bapa dia atau suku-sakat dia? Siapa?

Retorik Ibrahim Ali ini telah sampai ke tahap bodoh sampah. Jika Ibrahim Ali malas membaca, saya harap orang-orang kanannya rajinlah sikit membaca, kemudian bisikan ke telinga Ibrahim Ali, DAP itu lahir di mana, bila dan bagaimana. Tetapi harapan saya saya ini mungkin terlalu tinggi.

Ada juga tokoh pecacai membuat uacapan, “Kita tak mahu merempat di bawah tapak kaki orang lain. Kita tak mahu kita jadi pencacai kepada bangsa lain,” kata Jamaluddin Yusof. Tak mahu jadi ‘pecacai bangsa’ lain itu menjelaskan lagi jiwa hamba kumpulan-kumpulan ini. Mereka hanya mahu bertuankan dari bangsa mereka, tak kira bangsa mereka itu korup atau zalim. Inilah psiki jiwa hamba yang ditanam sejak sekian lama oleh parti UMNO (dakwaan yang klise tetapi benar).

hbm2Kemudian Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin pula berpidato, “Dengan kalimah La Ilaha Illallah bumi ini kita tidak akan benarkan bumi ini dijajah selama-lamanya… Hidup Melayu!” Ini contoh klasik perasaan assobiyah diadun dengan elemen ‘agama’ dan Islam untuk meyakinkan lagi kepercayaan mereka bahawa mereka dijajah oleh ‘bangsa lain’ (Cina DAP).

Menyalahkan Cina DAP ini sangat mudah. Tak mencabar pun. Mudah dijangka. Inilah tanda-tanda jiwa hamba. Kelemahan dan kebodohan mereka adalah salah Cina DAP.

Seterusnya Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar dalam ucapannya menggesa kerajaan agar mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menyekat himpunan seperti Bersih 4 yang didakwa menghina pemimpin Melayu.

Mencadangkan ISA dikembalikan hanya untuk menghalang perhimpunan Bersih adalah hujah yang sangat popular tetapi dangkal. Undang-undang itu sendiri anti-demokrasi, bagaimana undang-undang tersebut akan berlaku adil kepada rakyat? Ini tak pula difikirkan oleh beliau. Namun, pada hakikatnya, kan akta ISA ini sudah dimansuhkan sebenarnya?

Mencadangkan Cina DAP sebagai punca masalah UMNO pada hari ini sememangnya cadangan yang sudah kotai. Yang membuat rasuah, yang menerima derma, yang membuat kerugian syarikat GLC dan yang membuat dasar serta keputusan ekonomi adalah kerajaan UMNO-BN yang diketuai oleh Melayu.

Mereka yang berjiwa hamba, sememangnya tidak akan mampu dan tak mahu melihat lebih jauh dari hakikat ini. Sebaliknya, jiwa hamba ini hanya melihat ‘tuan’nya adalah maksum sebab tuannya itu dari kalangan sebangsa dan seagama dengannya. Seolah-olah, tanda-tanda ‘ketuhanan’ pada tuan mereka ini sejak azali lagi.

redshirt-fightMereka yang berjiwa hamba ini tidak dapat menerima hakikat bahawa tuan dari bangsanya itu tidak maksum. Mereka yang berjiwa hamba ini tidak dapat terima hakikat bahawa tuan dari bangsanya itu mungkin penipu, pencuri atau pemfitnah.

Perhimpunan ketika Hari Malaysia ini, tidak membawa apa-apa cadangan membina kepada rakyat Malaysia. Seolah-olah, Melayu di Malaysia ini hidup sendirian. Slogan Hidup Melayu? Melayu mana yang perlu hidup? Hidup yang bagaimana? Dengan GST? Tak pula hujah dan retorik ini kedengaran.

Jiwa hamba hanya mampu berteriak-teriak, tatkala kepenatan, mereka memaki hamun. Inilah Hari Malaysia yang paling memalukan. – Roketkini.com

 

*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa DAP Johor, seorang pendukung seni dan budaya