Berita

Jerebu: Kerajaan perlu tindak tegas terhadap syarikat besar Malaysia yang beroperasi di Indonesia

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai operasi besar di kawasan titik panas (hotspot) pembakaran di Indonesia yang telah mengakibatkan masalah jerebu.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata ramai pihak tertanya-tanya sama ada keengganan Malaysia bertindak adalah kerana syarikat-syarikat gergasi tersebut mempunyai kuasa melobi dan pengaruh besar terhadap kerajaan.

Katanya, kerajaan Malaysia perlu meluluskan undang-undang seperti yang digubal di Singapura, iaitu Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura 2014, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan masalah jerebu di Singapura, walaupun syarikat tersebut tidak beroperasi atau tidak berdaftar di Singapura.

Tambah beliau, akta tersebut juga membenarkan tindakan sivil diambil terhadap syarikat yang menyebabkan jerebu di mana kerosakan dan gangguan awam secara teori adalah tidak terhad.

“Jika Akta ini digubal di Malaysia, pihak berkuasa Malaysia dapat menghukum syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu yang meliputi rantau ini saban tahun.

“Tempat yang terbaik untuk memulakan rancangan ini sudah pasti adalah rumah sendiri, kerana kebanyakan ladang kelapa sawit yang bertanggungjawab dalam membersihkan dan membakar kawasan di Indonesia merupakan syarikat milik atau dikawal oleh warga Malaysia”, katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Malaysia tidak boleh hanya berdiam diri dan bersikap ‘tunggu dan lihat’, sebaliknya perlu mengambil langkah konkrit bagi mengawal perbuatan tidak bertanggungjawab tebang dan bakar di Indonesia yang menjadi punca jerebu. – Roketkini.com