Budaya

Fantastic Four: Kupas tema generasi Y di Malaysia

The failures of my generation are the opportunities of yours. – Profesor Franklin.

Fantastic Four adalah kumpulan adiwira rekaan Stan Lee dan Jack Kirby. Adiwira rekaan tersebut telah diterbitkan oleh Marvel Comics dan mendapat sambutan yang hangat sebagai filem cereka. Filem tersebut menceritakan versi berlainan berkenaan asal usul tiga adiwira dan satu adiwati memperolehi kuasa mereka daripada filem Fantastic Four sebelum ini.

Walaupun Filem Fantastic Four 2015 dikatakan tidak sehebat yang sebelumnya, saya ingin berkongsi mesej yang ingin disampaikan di dalam filem tersebut. Kemungkinan mesej besar yang ingin disampaikan oleh Stan Lee dan Jack Kirby yang boleh diklasifikasikan sebagai generasi lama kepada generasi baru, iaitu gen Y.

 

Potensi yang besar terhalang kerana minda-minda yang hebat tidak mahu bekerjasama

fantastic fourDi dalam filem yang terbaru, Victor von Doom adalah sorang pemuda yang keras kepala dan sukar untuk bekerjasama dengan yang lain. Pada awal pertemuan Victor dengan Reed Richards, seperti yang dijangka, Victor tidak mahu bekerjasama dan memperlecehkan Reed. Penyelia mereka iaitu Profesor Franklin Storm mahu dua anak muda tersebut bekerjasama kerana percaya dengan potensi mereka yang mampu melakukan sesuatu yang menakjubkan. Tetapi mereka perlu juga dibantu oleh dua anaknya, iaitu Sue Storm dan Johnny Storm.

Punca sebenar Victor tidak mahu bekerjasama adalah kerana tidak menyukai majikan Franklin, iaitu Dr Allen. Dr Allen mengeksploitasikan kebijaksanaan mereka demi keuntungan duniawi tanpa memikirkan akibatnya terhadap alam sekitar. Oleh kerana itu, Victor berfalsafah yang bumi ini patut hancur kerana yang yang menguruskan bumi inilah yang sedang menghancurkan bumi. Maka, mereka patut hancur bersama-sama dengan bumi yang mereka hancurkan.

Namun, kata-kata semangat dan syarahan Profesor Franklin menyebabkan Victor mahu bekerjasama dengan Reed apabila berjaya meyakinkan bahawa usaha mereka adalah untuk menyelamatkan dunia.

 

Sama ada kita meneruskan polemik sebelum ini atau kita menghentikannya

Franklin sedar yang generasi sebelum banyak membuat keputusan yang silap. Keputusan yang silap tersebut telah menyebabkan dunia ini ke arah yang tidak sepatutnya dan menyebabkan kegagalan moral sekaligus.

Walau apapun, kesilapan telah terjadi. Generasi Y sebenarnya tiada masa untuk terus menerus menuding jari kepada generasi sebelum ini. Jangan warisi kesilapan kepimpinan sebelum ini. Jadikan kepimpinan yang gagal sebelum ini sebagai batu loncatan untuk kepimpinan anda.

Generasi muda yang mewarisi dunia ini, perbetulkan segala kesilapan lampau dan gunakan pengaruh baru membetulkan masa lalu. Sama ada generasi hari ini meneruskan polemik lalu atau mengubahnya hari ini juga. Segalanya terletak di tangan generasi baru. Kita tidak boleh mengubah masa lampau, tetapi kita boleh mengubah masa depan.

 

Memimpin orang yang berbeza memerlukan kemahiran komunikasi yang berbeza

fantastic-four-2015-3aFranklin membawa anaknya Johnny Storm ke dalam kumpulan tersebut untuk membina mesin telepengangkutan (teleport machine) yang akan membawa sesiapa sahaja ke alam yang berlainan. Victor memperleceh Johnny untuk bekerjasama dalam kumpulan tersebut kerana dia seorang yang sukar untuk menerima arahan. Namun Reed berjaya membuktikan dengan menggunakan pendekatan unik. Reed dan Johnny boleh bekerjasama dan seterusnya menjadi sebahagian daripada kumpulan itu.

Ianya memang mudah untuk menggunakan pendekatan yang sama untuk semua orang di dalam sesuatu organisasi. Walau bagaimanapun, masalah akan timbul apabila kita cuba untuk memimpin semua orang dengan cara yang sama kerana setiap orang mempunyai latar belakang dan personaliti yang berbeza. Cara untuk memimpin orang dewasa tidak boleh digunakan untuk memimpin kanak-kanak.

 

Fantastic Four, Generasi Y, dan Malaysia

Seperti yang kita sedia maklum, berbagai polemik sedang melanda Malaysia seperti skandal jutaan dan berbilion ringgit, ketirisan dalam perbelanjaan dan pengurusan seperti yang dilaporkan audit negara, dan berbagai lagi kesilapan oleh pemimpin generasi dahulu dan seterusnya menyebabkan malapetaka ekonomi, malapetaka pendidikan, dan lain-lain.

Seperti yang disyarah oleh Franklin, tanggungjawab untuk menghentikan atau mengubah keadaan buruk ini terletak di bahu generasi kepimpinan yang akan datang. Iaitu kita yang dikenali sebagai generasi Y. Generasi Y tidak seharusnya meneruskan polemik hari ini dan berusaha menghentikannya.

Namun usaha tersebut tidak akan dapat dilakukan sekiranya generasi Y yang terdiri daripada berbagai bangsa dan latar belakang tidak bersatu. Saya percaya, setiap orang daripada generasi Y mahukan kehidupan yang baik dan tidak mahu tersepit dengan apa-apa malapetaka yang melanda seperti dinyatakan oleh #sayazahra dan lain-lain.

Dalam Fantastic Four, Victor adalah orang yang memulakan usaha untuk mencipta mesin telepengangkutan ke dimensi yang lain, tetapi dia tidak dapat menghabiskannya kerana terdapat beberapa masalah yang dia tidak fahami. Reed dapat menyelesaikan masalah tersebut dan berjaya mecipta mesin tersebut, tetapi hasil rekaan Reed sebenarnya berbahaya kerana dia tidak memahami secara teori asas mesin tersebut. Sebenarnya Reed bila-bila masa sahaja akan membina lubang hitam melalui mesin telepengangkutan kerana tidak membina beberapa langkah berjaga-jaga dalam pembinaan mesin tersebut.

Walau bagaimanapun, hasil mesin ciptaan Reed dan Victor tidak mampu direalisasikan untuk skala yang besar kerana mereka bukanlah jurutera yang mampu membina mesin yang kompleks . Mereka cuma saintis yang merungkai rahsia dan teori asas untuk membina mesin tersebut. Namun, apabila mesin ini telah tercipta dan berjaya untuk dimensi yang berlainan, keadaan dimensi tersebut tidak sesuai dan disitulah paranan Sue Storm bermula. Dia mencipta sut atau pakaian untuk melindungi manusia yang ke dimensi yang berlainan. Persediaan jangka panjang perlu untuk memastikan kelangsungan ciptaan mesin itu sentiasa releven.

Hal ini boleh dilihat kepada kepakaran dan potensi anak muda yang sebenarnya mampu membina tamadun yang gah di dunia sekiranya anak muda bersatu.

12002534_1014071095291163_4799755063691897966_oDi politik kampus kita boleh lihat di mana mahasiswa berpecah dan bermusuh kerana berideologi politik yang berlainan. Malah, sekiranya parti A menang, bakat dan potensi yang berada di parti B dinafikan untuk mentadbir Majlis Perwakilan Mahasiswa. Di luar kampus, blok-blok persatuan pemuda dan gerakan politik pemuda juga terpisah kerana perpisahan yang dicipta oleh generasi sebelum ini. Peperangan dan permusuhan bertahun-tahun tahun disebabkan perbezaan kaum, agama, dan ideologi dimulakan oleh generasi terdahulu dan kitaran ini peperangan itu diteruskan oleh generasi muda.

Generasi baru seharusnya bersatu tanpa mengira agama, kaum, ideologi, mahupun politik untuk menghentikan polemik orang tua dan membina generasi yang lebih baik. Banyak potensi dan hal yang menakjubkan mampu dibina oleh generasi Y sekiranya mereka berlapang dada dan bekerjasama. Kesilapan generasi terdahulu adalah peluang kepada generasi Y untuk memperbetulkannya. – Roketkini.com