Rencana

Sekolah vernakular: Polemik berat sebelah

Polemik mengenai sekolah vernakular sekali lagi menjadi perbincangan dalam media sosial selepas kenyataan Prof Shad Saleem Faruqi baru-baru ini di mana beliau menyatakan sekolah vernakular tidak dilindungi oleh Perlembagaan walaupun terdapat Artikel 152 (1)(a) yang membenarkan bahasa selain Bahasa Melayu untuk dipelajari.

Kenyataan ini kemudiannya dirujuk dalam satu artikel bertajuk  “UiTM is constitutional, vernacular schools are not” tulisan Faidhur Rahman bertarikh 19 September 2015. Sekali lagi hujah paling mudah; sekolah vernakular menghalang perpaduan nasional. Lantaran itu, dengan menghapuskannya, maka perpaduan nasional dengan serta-merta akan wujud.

Malah, lebih mengejutkan artikel Faidhur menyatakan sekolah vernakular tidak beperlembagaan (unconstitutional) dan UiTM pula beperlembagaan. Kenyataan Prof. Shad tidak boleh dianggap semudah itu. Frasa “tidak dilindungi” tidak bermaksud sekolah vernakular tidak berpelembagaan. Jika diamati dalam artikel tersebut, penulis turut mengambil penghakiman Hakim Mohamed Azmi dalam kes PP v Mark Koding yang menyatakan“There is nothing unlawful in allowing Chinese or Tamil schools to continue”.

Lantaran itu, apakah wajar untuk membincangkan sama ada sekolah vernakular ini beperlembagaan atau tidak beperlembagaan? Saya fikir tidak. Kita harus bersetuju bahawa kedua-duanya beperlembagaan kerana ia adalah berkait dengan sejarah dan polisi pendidikan.

Perbincangan yang penting adalah sejauh mana sekolah vernakular dan UiTM boleh membawa kepada perpaduan nasional? Acapkali para pendukung sistem satu aliran atau para penyokong penghapusan sekolah vernakular akan terlupa atau (sengaja) melupakan kewujudan UiTM sebagai sebuah universiti khas untuk satu golongan sahaja. Selain itu, golongan ini akan secara ironinya mempertahankan pula kewujudan UiTM berdasarkan dua alasan utama, sejarah dan Artikel 153.

 

“Apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah”

Artikel 153(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

“…Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Negeri Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam, dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan…”

Kebanyakan kita akan terlepas pandang mengenai frasa “apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah”. Frasa ini yang seharusnya diperdebatkan sama ada UiTM hari ini masih munasabah kerana tidak membenarkan kaum bukan Bumiputera memasukinya. Jika mengikut hujah beperlembagaan, maka boleh dikatakan penubuhan UiTM yang dikhususkan untuk Bumiputera dan mempunyai cawangan di seluruh negeri juga tidak munasabah dan bersifat diskriminasi. Tambahan pula, peruntukan yang diterima UiTM lebih besar berbanding universiti lain.

UiTM juga boleh dikatakan tidak beperlembagaan menurut Artikel 8 (kesaksaman di bawah undang-undang) dan Artikel 12 (diskriminasi terhadap akses pendidikan) kerana UiTM adalah sebuah institusi awam dan tidak wajar dikhususkan untuk satu golongan sahaja. Jika begitu, sekolah vernakular lebih terbuka kerana tidak pun menghalang kaum lain untuk memasukinya.

Berdasarkan statistik keluaran Blueprint Pendidikan Malaysia, kemasukan bukan pelajar Cina di sekolah vernakular cina meningkat kepada 12%. Malahan di SJKC Tiong Hua Kok Bin di Jalan Meru, Klang, sekolah tersebut mempunyai 45% pelajar yang bukan Cina. Ironinya, sekolah vernakular lebih dilihat majmuk berbanding UiTM.

Ada sebahagian yang mahu menghapuskan vernakular dan kemudiannya mencadangkan agar pelajaran bahasa Cina dan Tamil diajar di sekolah kebangsaan. Menarik, tapi bagaimana pula, jika ada juga cadangan yang mahu UiTM membukanya kepada semua warga Malaysia dan menetapkan kuota Bumiputera di setiap universiti awam. Bukankah cadangan ini lebih baik dan mampu mengeratkan hubungan kaum di Malaysia? Setuju?

Selain itu, penulis juga membangkitkan alasan sejarah mengapa UiTM perlu dikekalkan kerana ia telah dipersetujui oleh pemimpin kaum komuniti lain sewaktu perbincangan pembentukan Perlembagaan. Jika begitu, adakah sekolah vernakular tidak dibincangkan dan diterima oleh pemimpin komuniti pada masa tersebut? Sedangkan sekolah vernakular telah lama wujud awal sebelum RIDA ditubuhkan. Jangan dilupakan Laporan Fenn-Wu 1951 dan Laporan Razak 1956 yang turut mengiktiraf kewujudan sekolah vernakular dan pengamalannya di Malaysia.

 

Dilupakan atau sengaja dilupakan

Saya bukan penyokong sekolah vernakular dan penentang UiTM, cumanya wacana sistem pendidikan untuk perpaduan ini seringkali menjadikan sekolah vernakular sebagai kambing hitam. Seolah-olah sekolah kebangsaan hari ini sudah cukup inklusif untuk semua. Paling menghairankan, kebanyakan pendukung sistem satu aliran ini memejamkan sebelah mata mengenai penubuhan UiTM yang menghalang kaum lain memasukinya.

Mereka juga terlepas pandang mengenai sekolah agama rakyat dan sekolah pondok yang secara jelas bersifat satu kaum. Institusi pendidikan agama ini tidak pula dipersalahkan sebagai penghalang perpaduan malah tiada langsung perbincangan mengenainya.

Dalam wacana sistem pendidikan untuk perpaduan, masyarakat harus bersifat adil dalam berhujah. Tidak boleh hanya melihat satu pihak sahaja iaitu dalam kes ini sekolah vernakular. Perlu juga diingat, bahawa ada sekolah vernakular yang “self-funded”. Adakah ia patut dihapuskan? Jika ya, bagaimana pula dengan sekolah antarabangsa yang semakin lama semakin mendapat sambutan golongan elit dan kaya?

Tanpa disedari, perkara ini akan mewujudkan jurang kelas masyarakat terutamanya jurang ekonomi bukan yang menular di kalangan kaum masing-masing yang semakin melebar. Adakah sekolah antarabangsa juga perlu dihapuskan?

Bagaimana pula dengan kualiti pendidikan Sains dan Matematik di sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan? Apakah wujud jurang yang besar sehinggakan ramai ibu bapa Melayu yang menghantar anak mereka ke sekolah vernakular. Hakikatnya, ibu bapa mencari yang terbaik dan jika sekolah kebangsaan gagal menawarkannya, sekolah kebangsaan tidak akan menjadi pilihan.

Pokoknya, sistem pendidikan memerlukan anjakan paradigma dan tidak sekadar menghapuskan sekolah vernakular. Fokus utama perbincangan adalah bagaimana sekolah kebangsaan boleh diperkasakan. Frasa “diperkasakan” perlu difahami dengan perspektif yang bersifat majmuk dan inklusif. Kita juga perlu melihat realiti semasa tentang pentadbiran sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan.

Adakah kerana sekolah kebangsaan tidak lagi bersifat “kebangsaan” tetapi lebih menjadi sekolah Melayu dan Islam?

Adakah kualiti guru-guru di sekolah kebangsaan tidak seperti yang diharapkan?

Adakah wujud diskriminasi di sekolah kebangsaan?

Pastinya kita boleh mengimbau satu dua kejadian yang berlaku di sekolah kebangsaan dalam tempoh dua tahun ini berkaitan pelajar bukan Islam dipaksa makan di tandas dan seorang guru meminta anak murid bukan Islam meminum air kencing sendiri sewaktu bulan puasa.

Persoalan-persoalan inilah yang wajar dibincangkan oleh penulis atau para pendukung sistem satu aliran agar aliran yang dicadangkan ini bersifat inklusif dan majmuk serta tiada diskriminasi.

 

Langkah-langkah pemerkasaan

Antara langkah-langkah yang boleh diambil agar sekolah kebangsaan lebih inklusif adalah seperti berikut:

· Menawarkan pelajaran bahasa Cina atau Tamil tanpa perlu mengira jumlah pelajar bukan Melayu di sekolah tersebut;

· Memastikan bilangan guru di setiap sekolah bersesuaian dengan komposisi kaum di kawasan tersebut;

· Menggalakkan hubungan dua hala antara sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan dalam bidang sukan dan aktiviti kokurikulum;

· Menawarkan pelajaran agama selain Islam di sekolah kebangsaan;

· Mewujudkan modul perpaduan nasional di sekolah kebangsaan dan vernakular;

· Memastikan penyertaan aktiviti kokurikulum tidak diidentifikasikan mengikut kaum;

· Menghantar guru-guru Bahasa Melayu berkualiti ke sekolah vernakular; dan

· Menyemak semula kurikulum sekolah kebangsaan dan vernakular supaya menepati citarasa Malaysia.

Tuntasnya, sistem pendidikan hari ini perlu merujuk kepada realiti masyarakat. Sistem pendidikan termasuk pendidikan tertiari tidak boleh lagi merujuk kepada kaum semata-mata. Peluang kepada pendidikan harus diutamakan agar tiada yang ketinggalan. Kualiti harus diutamakan dan yang paling penting kejujuran dalam melaksanakannya tanpa agenda politik sempit. – Roketkini.com