Berita

Pakatan Harapan ditubuhkan tanpa PAS

SUBANG JAYA, 22 SEPT: Sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) telah ditubuhkan hari ini.

Ia diwujudkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur apabila Parti Islam SeMalaysia (PAS) memutuskan semua hubungan dengan DAP, pada Jun lalu.

Walaupun beberapa pemimpin komponen gabungan baru itu telah menjemput PAS menyertai perbincangan bagi mewujudkan kerjasama baru, ia telah ditolak oleh pucuk pimpinan parti Melayu Islam tersebut.

Penubuhan Pakatan Harapan diumumkan bersama oleh para pemimpin parti-parti komponennya, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, dan Presiden PAN Mohamad Sabu di sini hari ini.

Dalam pilihanraya umum yang lalu pada 2013, gabungan pembangkang memenangi 89 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu terus menafikan majoriti dua pertiga Parlimen yang dicatatkan dalam PRU sebelumnya.

Walaupun memenangi 52% undi popular, Pakatan Rakyat tidak dapat membentuk kerajaan kerana sistem persempadanan kawasan pilihanraya dilaksanakan untuk memberi kelebihan kepada parti pemerintah, UMNO-BN.

Dalam kenyataan bersama Pakatan Harapan, para pemimpin gabungan baru itu berkata, ia akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan UMNO-BN.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa konspirasi politik UMNO-BN sebagai calon Perdana Menteri sekiranya memenangi pilihanraya umum yang akan datang.

“Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib Razak,” kata mereka.

Kenyataan bersama itu juga masih membuka pintu kepada mana-mana pihak yang mahu bersama dengan Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan UMNO-BN, dengan syarat ia mesti tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.

Pakatan pembangkang yang lama hancur kerana PAS enggan bertolak ansur dalam isu pelaksanaan hudud di Kelantan, walaupun jelas ia dimanipulasi oleh UMNO yang kini sudah tidak ghairah lagi mahu membantu PAS melaksanakan undang-undang jenayah Islam itu.

PAS juga telah beberapa kali melanggar dasar-dasar bersama sejak PRU13, dan apabila mendapat kritikan DAP, pimpinan PAS menuduh DAP sebagai angkuh.

Pimpinan Pakatan Harapan menyatakan hasrat untuk memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang. – Roketkini.com