Berita

Tuah Tony Pua: Saman Syabas padanya ditolak, samannya pada Utusan diterima

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Sepanjang tujuh hari lalu, kata-kata Tony Pua yang didakwa sebagai fitnah sejak lebih empat tahun lalu akhirnya terbukti sebagai kebenaran yang berasaskan fakta.

Buktinya adalah apabila mahkamah pada minggu ini dan minggu lalu membuat keputusan yang berpihak kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Dua hari lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan bahawa beliau (Tony) tidak memfitnah pemegang konsesi air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Menurut laporan agensi berita Bernama, dalam keputusan sebulat suara panel lima hakim, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azahar Mohamed menyatakan bahawa: “Tidak pun ditunjukkan kepada kami bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tentang isu ini adalah bertentangan dengan kekuatan bukti atau berlawanan dengan apa cara pun, hingga memerlukan campur tangan kami”.

Laporan itu juga menyebut bahawa dalam menolak rayuan Syabas, Azahar berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Tony berjaya dalam mempertahankan justifikasi.

Syabas memfailkan saman terhadap Tony pada Januari 2011 yang mendakwa beliau telah membenarkan edisi Metro Nanyang Siang Pau menerbitkan perkataan-perkataan bersifat fitnah dalam artikel 16 Nov, 2010, berjudul “Tony Pua: Kerajaan Selangor perlu mendapat hak air bagi menyekat kenaikan kadar”.

Pada 6 Jun, 2012, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan saman sivil dan memerintahkan Pua membayar Syabas RM200,000 sebagai ganti rugi. Tetapi pada 17 Mac, 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pua untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu, yang menyebabkan Syabas membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Minggu lalu pula, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Utusan Melayu (Malaysia) membayar ganti rugi RM200,000 kepada Tony kerana menerbitkan artikel berunsur fitnah pada tahun lalu.

Menurut laporan media, mahkamah membuat perintah itu selepas Utusan menyiarkan permohonan maaf pada 23 Mei lalu berhubung penerbitan artikel yang bertajuk “Tony, Anwar Dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan” pada 15 Nov tahun lepas.

Utusan telah memetik kenyataan seorang bekas pengerusi cawangan DAP yang mendakwa Tony perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan aktivitinya di Singapura.

Dalam samannya terhadap Utusan yang difailkan pada 16 Januari lalu, Tony menyatakan laporan Utusan itu telah menggambarkan dirinya sebagai seorang ahli politik yang tidak bermoral, tidak tahu malu, dan seorang ahli perniagaan yang tidak cekap.

Pada mulanya Utusan enggan menarik balik laporan serta meminta maaf. Tetapi akhbar milik UMNO itu terpaksa meminta maaf selepas orang yang menjadi sumber laporan fitnah itu telah menyelesaikan kes tersebut dengan Tony. – Roketkini.com