Rencana

Pakatan Harapan: Tiga persoalan dan cabaran masa depan

Oleh Dr Ong Kian Ming

BAGAIMANA agaknya sejarah menghakimi percubaan ketiga penubuhan pakatan pembangkang di Malaysia? Hanya masa akan menentukannya.

Apapun, penubuhan pakatan baru – Pakatan Harapan berdepan cabaran besar untuk bertarung dengan BN pada pilihan raya umum akan datang. Pada masa sama, ia memberi ruang untuk menguatkan pembentukan identiti pakatan baru itu.

Ketika pengumuman yang dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bersama-sama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, ia kelihatan seakan-akan segala-galanya sudah selesai.

Hakikatnya, ada banyak pandangan dan pergerakan di sebalik tabir. Pandangan terhadap pembentukan pakatan baru boleh dikelompak kepada tiga kategori besar dengan beberapa pertindihan hujah.

PM-najibPertama-tamanya, tanggapan betapa Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak popular menjelang PRU akan datang, sekaligus ia menjadikannya penting untuk parti pembangkang supaya mengelak pertandingan tiga penjuru.

Namun, tanpa penyertaan PAS dalam pakatan baru, ia mungkin mendorong kepada pertandingan tiga penjuru yang boleh menjejaskan matlamat utama. Jadi, parti pembangkang perlu mengekalkan status quo dan tidak ribut-ribut.

Masalahnya, senario PRU15 dibuat dengan andaian Najib kekal sebagai Perdana Menteri. Ia dijangka berbeza dengan PRU14 kerana strategi memenangi majoriti kerusi Parlimen tidak sama dengan usaha menafikan dua pertiga majoriti.

Harapan rakyat juga berubah bersama-sama lanskap politik negara. Jika tiada pakatan pembangkang yang rasmi dengan platform dan manifesto menyakinkan, sebahagian pengundi mungkin memilih untuk kekal dengan kebiasaan – BN.

Ini tentu melukakan pembangkang berbanding BN. Kita juga tidak dapat mengagak kemungkinan peratusan pengundi merosot berbanding PRU14 jika pengundi tidak nampak kesepakatan pembangkang.

Tambahan pula, pandangan itu berasaskan kepada jangkaan Najib kekal sebagai Perdana Menteri. Bagaimana jika Najib diganti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan memberi nafas baru kepada BN menjelang PRU15? Ia mungkin memberi rangsangan populariti kepada BN.

Jadi, parti pembangkang perlu mencari pendekatan berkesan untuk mengatasi kemungkinan itu. Dengan adanya pakatan baru, ia mendorong kepada kedudukan lebih baik untuk merancang dan bersiap sedia.

Bermakna, Pakatan Harapan perlu lebih baik daripada BN, sama ada ia diterajui Najib, Muhyiddin, Datuk Seri Zahid Hamidi mahupun Khairy Jamaluddin.

Pandangan kedua pula cenderung untuk menolak pembentukan pakatan pembangkang. Ia kerana wujud kebimbangan PAS akan terasing lalu menyebabkan kehilangan undi Melayu kerana PAS mudah mendapat tempat dalam kalangan pengundi Melayu di pedalaman.

Jika PAS tidak menyertai pakatan baru, pengundi kelompok itu dikhuatiri tidak mengundi Pakatan Harapan. Tanpa PAS juga, ia hanya menyebabkan parti itu bekerja lebih rapat dengan Umno sekaligus mengurangkan peluang pembangkang mencapai kemenangan.

Namun, pandangan itu tidak semestinya tepat.

Andaian hanya PAS boleh menang kawasan pedalaman perlu diperhalusi. Rekod menunjukkan, dari 15 kerusi Parlimen yang dimenangi pada 2008 tetapi kalah pada 2013, 10 daripadanya di kubu PAS di Kedah dan Kelantan. Tujuh daripada kerusi itu kalah di Kedah berikutan kegagalan PAS mentadbir negeri.

Ia berbeza dengan Pakatan di Pulau Pinang dan Selangor yang membuat pertambahan undi pada PRU13. Malah, ada kebimbangan kemungkinan PAS kalah di Kelantan berikutan agenda hudud yang dibawa pada 2013.

Selain itu, kegagalan PAS Kelantan mentadbir negeri, ditambah pula kelembapan menangani isu banjir mungkin menghantui parti itu pada PRU15.

pakatan-2.0-266x266Tidak dinafi, Amanah mampu menawan hati ramai pengundi Melayu tetapi keraguan tetap ada di sebalik kemampuannya dalam beberapa bulan penubuhan, membawa banyak petanda positif, apatah lagi lebih 8,000 ahli mendaftar di Kelantan.

Amanah juga dijangka mendapat sambutan baik di selatan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan – kawasan yang PAS secara tradisinya lemah.

Lebih-lebih lagi, sokongan politik masyarakat Melayu juga tidak bersifat kekal seperti komuniti lain. Dengan adanya parti Islam progresif untuk menawan hati masyarakat Melayu, ia suatu perkembangan positif .

Seperkara lagi, pakatan baru tanpa PAS juga tidak semestinya berlaku pertandingan tiga penjuru. Ia sekurang-kurangnya boleh diminimum atau dielak jika PAS sedia datang ke meja rundingan.

Mengenai kebimbangan PAS bekerjasama dengan Umno, ia sebenarnya sudahpun berlaku – sama ada bersama pakatan baru ataupun sebaliknya. Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang terus mahu dimanipulasi dan disesatkan Umno. Semuanya kerana percaya hudud boleh dilaksanakan di Kelantan melalui kerjasama dengan Umno.

Dalam kecenderungan sedia ada itu, bukankah lebih baik mendesak PAS mendedahkan kedudukan politiknya dengan Umno pada PRU akan datang berbanding dibuat selepas pilihan raya itu?

Apakah jaminan kepada parti pembangkang lain yang PAS pimpinan Hadi Awang tidak akan bekerjasama dengan Umno tanpa penyertaannya dalam Pakatan Harapan?

Pandangan ketiga pula menyifatkan ini bukan masanya untuk membuat pembentukan pakatan baru, sebaliknya perbincangan perlu dibuat lebih kerap manakala kedudukan polisi perlu dibaiki bagi mengelakkan masalah yang memecah belah Pakatan Rakyat tidak menjangkiti Pakatan Harapan.

Parti pembangkang perlu turun ke akar umbi untuk memahami sikap pengundi dikawasan pedalaman dan bentuk pakatan yang mampu memenangi hati dan minda mereka. Namun, maksudnya baik tetapi secara politiknya belum tentu praktikal.

hadi-awang-hudud-pas1Kenyataannya, pakatan pembangkang tidak berfungsi sejak Hadi Awang membangkitkan kembali agenda hudud di Kelantan yang bertentangan dengan Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Selain itu, ia juga tidak adil untuk meninggalkan Amanah ‘tergantung’ selepas terpaksa melakukan keputusan sukar meninggalkan PAS – parti tempat mereka berjuang sekian lama. Perbincangan pula ada kalanya berakhir tanpa penyelesaian.

Faktanya, Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat sedia kala diguna pakai dalam semua parti gabungan pembangkang. Pakatan Harapan boleh menyerap rangka dasar sama dan digerakkan bersama-sama gaya politik dan cabaran baru pada PRU akan datang.

Penubuhan pakatan baru juga boleh dijadikan faktor kebersatuan pada sesi parlimen akan datang termasuk pembentangan Bajet Tambahan, sesuatu yang mustahil tanpa ikatan rasmi pakatan pembangkang.

Adakah pembentukan Pakatan Harapan bermakna kita harus menjawab setiap hujah mengenai pakatan baru?

Ia naif untuk berbuat demikian. Tetapi ia baik sebagai langkah permulaan untuk menjadi signifikan yang bermakna pada pilihan raya umum kelak.

 

* Oleh Dr Ong Kian Ming ialah Ahli Parlimen Serdang