Berita

Siasat Jamal untuk elak ‘hantar jemputan’ kepada kumpulan lain

KUALA LUMPUR: Polis tetap perlu menyiasat Datuk Jamal Md Yunos sekalipun Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu membatalkan perhimpunan berunsur perkauman di Petaling Street yang dijadual esok.

Sekalipun mengakui hak berhimpun secara aman, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyifatkan demontrasi yang ada unsur jenayah tidak dilindungi Perlembangan Persekutuan.

Pada kenyataannya hari ini, BERSIH 2.0 menganggap perhimpunan itu bertentangan dengan Seksyen 141 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam tahun dan denda mengikut Seksyen 143

Mengalu-alu laporan media yang menyatakan Jamal disiasat polis mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan, BERSIH 2.0 juga mahu siasatan dan pendakwaan diteruskan berikutan wujud dakwaan jualan produk palsu dan monopoli perniagaan.

“Jika Jamal terlepas dari pendakwaan jenayah, ia seolah-olah menghantar jemputan kepada kumpulan lain untuk meniru gelagat Kumpulan Baju Merah yang boleh melemahkan ekonomi dan menakut-nakutkan pelabur mahupun pelancong.

“Polis perlu bersikap profesional dan tidak pilih kasih dengan mengheret Jamal supaya berdepan realiti undang-undang,” katanya.