Uncategorized

Demonstrasi: Zahid menyinga pada pembangkang, ‘menikus’ dengan Umno

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoal Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyinga apabila berdepan dengan parti pembangkang, sebaliknya menjadi ‘tikus’ dalam menangani pemimpin Umno.

Menyifatkannya sebagai dwistandard, beliau berkata Zahid tegas terhadap pembangkang da pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) tetapi jinak seperti tikus sekalipun berdepan isu yang terang-terangan bersifat perkauman dan menjejaskan keharmonian negara.

“Polis cepat apabila membabitkan pemimpin pembangkang dan NGO tetapi hanya tiada tindakan dan hanya cakap kosong walaupun Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos membuat sidang media di luar balai polis, pagi Rabu lalu.

“Ini sebabnya rakyat Malaysia tertanya-tanya dengan amalan dwistandard sedangkan terang-terangan ia menjejaskan keharmonian kaum dan merosakkan imej negara di mata pelabur mahupun pelancong,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu merujuk rancangan Jamal untuk mengadakan Perhimpunan Baju Merah yang berunsur perkauman di Petaling Street Sabtu ini,  malah dilapor media menyebut kemungkinan berlaku rusuhan.

Setakat ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim hanya mahu memanggil Jamal tetapi pemimpin pembangkang lazimnya ditangkap serta-merta jika membuat perkara sama.

Sedangkan, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan beberapa ahli DAP lain membuat laporan polis berhubung hal itu.

Jika kedai di Petaling Street ditutup esok, kata Kit Siang, ia menjadi bukti kegagalan polis dan Kementerian Dalam Negeri dalam memelihara keamanan dan kedaulatan undang-undang negara, malah bakal menjadi isu besar pada sesi Parlimen bulan depan.