Berita

Agama patut bersihkan politik, bukan alat serang pembangkang

KUALA LUMPUR: Agama sepatutnya membantu membersihkan dunia politik, bukan dijadikan alat propaganda pemerintah menyerang parti pembangkang, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Sebaliknya, beliau berkata, intitusi agama di negara ini dijadikan alat untuk memfitnah parti pembangkang terutama DAP melalui pembohongan tidak berasas hingga mengelirukan umat Islam.

“Jika begini (diperalat pemerintah), bagaimana mahu bersihkan politik?” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini berkaitan isu khutbah politik di Pahang pada sambutan AidilAdha, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Pakar perlembagaan, Aziz Bari; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan pemimpin muda beragama Islam parti berkenaan.

Kit Siang berkata, agama dapat membersihkan politik melalui penolakan amalan rasuah, fitnah memfitnah dan berdusta, selain mengamal ketelusan dan pentadbiran baik sekaligus mendorong kepada politik baru yang matang.

“Malangnya, yang berlaku ialah dusta dan fitnah bermaharajalela, malah pembohongan pula dianggap sebagai kebenaran,” katanya.