Berita

Aziz Bari: Khutbah politik boleh jejaskan reputasi istana

KUALA LUMPUR: Perbuatan Jabatan Mufti Pahang menggunakan teks khutbah berbaur politik fitnah dikhuatiri menjejaskan reputasi istana sebagai ketua agama negeri, kata pakar perlembagaan, Aziz Bari.

Beliau bimbang ia seakan-akan cubaan mengheret pihak istana ke kancah politik berikutan sultan adalah ketua agama di setiap negeri yang menaungi jabatan agama dan jabatan mufti peringkat negeri.

“Perlu tindakan segera termasuk meminda teks khutbah itu. Ini ada kaitan dengan reputasi istana. Jangan sampai perbuatan itu menjejaskan imej sultan di mata umat Islam,” katanya sambil menyatakan DAP sebelum ini sudah menyatakan komitmen Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini bersama pimpinan DAP bagi  menuntut Jabatan Mufti Pahang menarik balik teks khutbah berbaur politik dan memfitnah DAP dalam lima hari atau berdepan tindakan undang-undang.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pula, berkata perbuatan Jabatan Mufti Pahang menggunakan khutbah untuk kepentingan politik sebagai tidak waras kerana ia mudah disalah erti.

Berdasarkan pengalamannya sejak menyertai DAP, beliau menolak dakwaan yang digembar-gembur media kawalan Umno BN kononnya orang Melayu-Islam masuk DAP sebagai alat menentang Islam.

“Mereka tidak musuhi Islam. Malah, orang DAPlah yang selalu mengambil, menghantar saya ke Masjid Negara. Selepas sidang media inipun…” katanya.