Berita

Guna teks khutbah politik, DAP tuntut tarik balik & mohon maaf

KUALA LUMPUR: DAP Pahang hari ini menuntut Jabatan Mufti Pahang menarik balik teks yang memfitnah parti itu pada khutbah sempena sambutan AidilAdha dan memohon maaf secara terbuka dalam lima hari.

Pengerusinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata individu beragama Islam dalam parti itu akan mengambil tindakan undang-undang jika JAIP gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Menyifatkan teks khutbah itu mengelirukan umat Islam dan membawa tanggapan negatif terhadap DAP, beliau berkata, surat tuntutan berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat.

“Kita terkejut dan membantah sekeras-kerasnya perbuatan mengunakan teks khutbah berbaur politik dan berunsur fitnah. Khutbah terutama ketika sambutan perayaan patutnya mengutamakan persaudaraan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; pakar perlembagaan, Aziz Bari; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan beberapa pemimpin muda beragama Islam parti berkenaan.

Antara petikan teks itu ialah: Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti parti Umno, PAS, PKR dan ditambah parti baru yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GHB) malahan ada di kalangan umat islam yang menyertai Parti DAP yang terang-terangan menentang Islam. Sepatutnya umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka.”

Tengku Zulpuri Shah yang menyifatkan perbuatan itu sebagai sengaja mencari salah DAP, berkata, parti itu tidak menentang Islam, malah mencabar mana-mana pihak supaya membuktikan dakwaan itu.

Sambil membantah perbuatan memperalat institusi agama seperti jabatan mufti untuk kepentingan politik pemerintah, beliau juga tidak menolak kemungkinan ia bertujuan mengalih perhatian rakyat dari isu besar seperti derma RM2.6 bilion dan skandal IMDB.

Katanya, perpecahan umat Islam di negara ini bukan disebabkan DAP sebaliknya ia lumrah berlaku di mana-mana pun termasuk di negara Arab hingga wujud perang saudara sesama bangsa dan agama, selain turut berlaku pada zaman Rasulullah SAW.