Berita

Kit Siang: Pakatan Harapan tampung vakum kepimpinan politik negara

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pakatan Harapan perlu berikutan bagi mengelakkan vakum politik berlarutan sekaligus dijangka mampu menampung kelemahan peneraju kepimpinan dalam negera ketika ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata situasi kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat lemah manakala gabungan parti pembangkang juga tidak sekuat dahulu.

Menyifatkan penubuhan pakatan baru itu sebagai keperluan mendesak, beliau berkata, rakyat mahu kepimpinan mantap dari kerajaan dan teguran membina daripada pembangkang tetapi kedua-duanya tidak berlaku.

“Sudah lama sangat. Jadi, penubuhan Pakatan Harapan dijangka dapat memenuhi keperluan dan kehendak rakyat untuk menegur pentadbiran kerajaan Najib yang terlalu lemah.

“Dengan hala tuju dan harapan baru, Pakatan Harapan akan berperanan dengan lebih baik,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Menjawab soalan lain, Kit Siang berkata, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih calon terbaik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Katanya, banyak contoh pemimpin negara lain dilantik sebagai Perdana Menteri sekalipun masih meringkuk dalam penjara ketika perubahan politik berlaku, antaranya Nelson Mandela dan Recep Tayyip Erdorgan.

“Paling pasti, Anwar jauh lebih baik daripada Najib,” katanya.