Sastera

Kunang Pesisir Morten: Kisah si cilik melawan tipikal perkauman

JASMI ada di mana-mana.

Watak lelaki yang cepat melenting, mudah curiga dan tanpa usul periksa menuduh kaum lain menganiaya kaumnya – Melayu, walaupun langsung tidak ada waima satu habuk bukti pun.

Dan sikapnya itu tidak kenal usia. Walau orang lanjut usia hinggalah kanak-kanak, semuanya pukul rata. Jangan sesekali memihak selain daripada kaumnya, walau individu sekaum yang dihormati ramai, tetap disergahnya.

Apatah lagi, kanak-kanak cilik dari kaum lain. Bukan India, bukan Cina, Cina Perakanan yang susur galurnya darah Cina campur darah Melayu, itupun diherdiknya cukup-cukup.

Tidak cukup dengan kata-kata kesat, perbuatannya pun tak kurang kasarnya, tak mengenal lelaki atau perempuan, tak kira budak-budak mahupun orang tua. Jasmi bukan sekadar kurang adab tapi biadap.

“Apa gunanya Haji Berahim cakap baik-baik dengan budak bangsa seberang ni? Mereka tak pernah buat baik dengan kitapun! Dah habis tanah kita dijarah. Sekarang, harta kita yang tinggal pun mahu diambil!”

Begitulah antara cakap lepas Jasmi kepada Haji Ibrahim, individu yang dihormati di Kampung Morten, malah keturunan pengasas kampung berkenaan, dalam adegan penemuan sebahagian barang antik yang hilang dicuri – kononnya, dilakukan Lim.

Cover-Kunang-Pesisir-MortenNamun, sebenarnya watak Jasmi bukan dominan dalam novel Kunang Pesisir Morten – hanya dalam beberapa bab, tetapi kebiadapannya dikarang dengan begitu baik, terasa neutral dan sangat menjadi.

Barangkali juga, gelagat manusia seumpama itu kerap kita temui di mana-mana. Maka, mudah untuk kita sebagai pembaca membayangkannya.

Namun, Jasmi tidak sehebat seperti cakap degar-degarnya.

Watak itu sebenarnya dikalah tiga kanak-kanak cilik – Dhiya, Adi dan Lim. Melalui Dhiya selaku watak utama, yang tidak mudah menyerah kalah lalu membuat siasatan ala-Nancy Drew hingga kebenaran akhirnya terbongkar jua.

Ternyata Lim dari keluarga Baba Peranakan yang keluarganya tersepit antara Melayu dan Cina – Cina tidak, Melayu pun bukan, dibuktikan tidak bersalah. Semuanya perbuatan Tam, kanak-kanak Melayu yang berlagak Robin Hood.

Semuanya hasil kesungguhan Dhiya bersama-sama Adi merungkai misteri satu persatu, malah bertindak memasuki rumah singgahan kongsi gelap di Jonker Street – suatu adegan yang rasanya agak keterlaluan, semata-mata demi membersihkan nama Lim.

Maka, terselamatlah Lim yang mulanya diheret ke balai polis gara-gara tuduhan melulu Jasmi yang digambar sentiasa ada di mana jua ada konflik atau pertikaian, kemudian cuba pula berlagak sebagai hero. Sebetulnya, Jasmi seorang yang kecoh dan kalut memanjang.

Namun, maruah Melayu diangkat melalui Dhiya, sicilik comot lagi kusut masai berusia sembilan tahun. Dhiya yang perwatakan degil, pendiam tetapi pintar, bukan setakat membersihkan fitnah terhadap Lim.

Dhiya juga tidak ragu-ragu menyerahkan wang tabung yang dikumpulnya berbulan-bulan demi membantu Lim yang ditimpa kesukaran membayar deposit kemasukan wad berikutan bapanya mendadak diserang sakit jantung.

Lim tidak mampu membendung air mata. Dia tahu Dhiya mengorban impiannya – membeli peralatan mewarna hingga sanggup berjualan kuih setiap hari, semata-mata mahu membantunya.

Bukan Lim sahaja teresak-esak menangis tetapi sesiapapun akan mengalirkan air mata atau sekurang-kurangnya sebak kala menghayati patah demi patah perkataan di halaman 99 novel itu.

“Tak boleh Dhiya. Ini duit kau. Untuk beli warna Rowney!”

“Betul. Ni duit aku. Dan aku pilih untuk bagi kau.” Dhiya meletakkan wang itu semula ke tangan Lim.

Begitulah indahnya persahabatan kanak-kanak cilik yang merentasi garis kaum dan agama.

Dengan latar masa pada 1984, hubungan antara kaum baik di Kampung Morten atau tempat lain – baik melalui novel itu mahupun realitinya, sebenarnya tidaklah harmoni mana. Namun, tidak pula separah sekarang.

Selain Jasmi, Dhiya dan Adi juga pernah berdepan pemulauan rakan sebaya mereka, hanya kerana mereka berkawan baik dengan Lim yang mulai akrab selepas bersama-sama menonton opera Cina.

Lim pula boleh dikatakan watak mewakili bukan Melayu. Sekalipun mengekal tradisi Baba Peranakan, beliau tahu menghormati adat dan agama Dhiya dan Adi hingga pernah menegur perbuatan mereka ponteng mengaji.

RaihaTernyata novel karya Raiha Bahaudin memberi kesan mendalam realiti kehidupan, apatah lagi penguasaan bahasa yang baik dan plotnya pula kemas. Sampaikan beberapa penggemar novel mahu mengangkatnya sebagai bakal pemenang Hadiah Sastera Perdana.

Pedulikan layak atau tidak. Menang atau tidak. Yang pasti, novel terbitan NuBook itu melarutkan imaginasi pembaca tetapi tetap berpijak di bumi nyata – realitinya relevan sama ada zaman 80-an mahupun era milenium.

Faktanya pula diadun dengan kreatif dan menambah seri pembacaan serta membantu membayangkan hingga tidak pula terasa seperti membaca buku menjelang peperiksaan akhir tahun.

Namun, novel sulung Raiha yang khabarnya sedang menulis novel keduanya, bukan semata-mata soal isu perkauman, bahkan menyentuh aspek pendidikan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

Tetapi, sukar sekali melupakan Jasmi. Lebih-lebih lagi, watak itu tergantung tanpa diselesaikan. Apa jadi kepada Jasmi selepas Lim dibebaskan? Mengapa tiada pembalasan atas perbuatan buruknya?

Barangkali, Raiha sengaja membiarkan watak itu tidak dihabiskan kerana Jasmi masih ada. Kalau bukan dalam novel keduanya, watak itu sebenarnya sentiasa berkeliaran di sekeliling realiti kehidupan kita.

Jasmi ada di mana-mana – di kedai kopi, di tepi jalan, di padang bola atau dalam parti politik, dalam badan bukan kerajaan (NGO), dalam sekolah, dalam pejabat atau di dalam apa-apapun, sama ada secara berselindung ataupun terang-terangan.

Mungkin, mungkin juga Jasmi sebenarnya ada di depan kita, di  sebelah kita atau di depan mata – ketika sedang bertentang mata dengan cermin.

 

* Kredit gambar utama: Speed Demon