Rencana

Susur galur ‘gegaran’ pergolakan politik Malaysia (Siri I)

APABILA berlaku gempa bumi, banyak peralihan tektonik terjadi disusuli proses penyelarasan tetapi ia memerlukan masa sebelum menjadi stabil.

Namun, dalam proses menuju kestabilan, lebih baik membuat jangkaan terhadap kemungkinan perubahan baru.

Dalam spektrum politik Malaysia, ia mengalami tiga gempa besar. Dan mendorong proses pergeseran dan penyusunan semula. Setiap kali berlaku gegaran, senarionya bukan mudah dijangka. Apabila landasannya berubah, ia memunculkan perubahan yang langsung tidak sama lagi.

Kali pertama berlaku ketika Pilihan Raya Umum pra-kemerdekaan Malaya pada Julai 1955 yang menyaksikan kejayaan Perikatan berasaskan formula Umno-MCA-MIC. Lawan Umno ketika itu ialah Datuk Onn Jaafar dari Parti Negara, PAS dan gerakan kiri, Parti Rakyat.

Apabila pemimpin Melayu kiri, Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih tampuk teraju PAS pada 1956, wujud kerjasama antara aktivis anti-kolonial, gerakan Islam, Melayu Kiri dan politik kedaerahan/kenegerian terutama Kelantan. Dalam politik Cina pula, Parti Buruh menjadi ancaman terbesar kepada MCA.

Senario itu berlangsung sehingga Pilihan Raya Umum 1964. Namun, selepas itu tiga gegaran politik berlaku.

Pada pilihan raya itu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Lee Kuan Yew bertanding beberapa kerusi di Semenanjung Malaysia tetapi gagal melawan kerjasama parti politik sedia ada, hanya menang satu kerusi melalui Devan Nair.

Pilihan Raya 1969

Parti Buruh memboikot pilihan raya pada 10 Mei 1969. Dua parti ditubuh bagi mengisi vakum politik ketika itu, iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Gerakan – kemudian menawan dan menubuh kerajaan di Pulau Pinang.

Tiga hari kemudian, Tragedi 13 Mei berlaku – ia menjadi gempa politik di tanah air. Penyusunan semula spektrum politik pada pilihan raya 1974 dapat diringkaskan melalui dua fakta berikut:

Pertama, matinya parti berhaluan kiri yang popular sekitar tahun 60-an disebabkan:

a) Perpecahan blok sosialis apabila Parti Rakyat dan Parti Buruh tidak bersefahaman dalam dasar bahasa.

b) Tindak balas kerajaan kepada isu antarabangsa iaitu Perang Dingin dan Perang Vietnam dengan bertindak zalim terhadap parti berhaluan kiri. Hampir semua pemimpin utama Parti Buruh ditahan ISA. Ia menyebabkan gerakan kiri lumpuh sama sekali, tidak lagi bertanding peringkat Parlimen.

c) Penahanan Dr Burhanuddin mengikut ISA mengakibatkan kesihatannya merosot teruk yang membawa kepada kematiannya pada 1969 selepas beliau dibebas. Pada masa itu, pemimpin de facto PAS pada 1965 ialah Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Muda yang dilihat menjuarai politik kenegerian Kelantan. Ia menjadi titik mula kerenggangan PAS dari politik sayap kiri dan anti-kolonial.

Kedua, dominasi Umno sebagai model politik berasaskan kaum.Selepas Tragedi 13 Mei, Majlis Gerakan Negara yang dipengerusikan Tun Abdul Razak ditubuh pada 16 Mei. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mulai hilang cengkaman kuasa dan terpaksa berundur pada September 1970.

Akibatnya, demokrasi berparlimen digantung antara 13 Mei dan hanya diadakan semula pada Februari 1971.

Tun Abdul Razak kemudian memperkenal Dasar Ekonomi Baru, yang berasaskan idea gerakan kiri iaitu pengagihan saksama tetapi mempraktikkannya mengikut kaum. Razak juga merekrut PAS atas nama Penyatuan Melayu.

Beliau juga mengubah spektrum politik dengan menukar perkongsian kuasa Umno-MCA-MIC kepada model dominasi Umno. Ini menjadikan peranan parti komponen Barisan Nasional (BN) menjadi mengecil, termasuk PAS, Gerakan, PAP dan lain-lain.

Konflik dalaman PAS 1982

Penggabungan PAS dengan kerajaan melalui Perikatan pada 1973, mengakibatkan tiada lagi parti pembangkang Melayu yang kuat. Akibat amalan politik perkauman menjadi-jadi, Parti Rakyat makin tersisih.

Walaupun begitu, sentimen anti-Umno dalam kalangan pembangkang Melayu terutama ketika krisis ekonomi 1973-1974 berikutan krisis minyak.

Apatah lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai watak penting dalam gerakan kemasyarakatan Melayu melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

PAS kemudian ditendang dari BN pada November 1977, sekaligus membawa kerugian besar kepada parti itu dalam pilihan raya tahun berikutanya, kalah hampir semua kerusi dan kehilangan Kerajaan Kelantan.

Sejak pilihan raya itu hingga 1982, PAS juga mengalami pergolakan dalaman tetapi masih mampu menarik sebilangan pemimpin muda dari ABIM termasuk Fadzil Noor yang kemudian menjadi Presiden dan Abdul Hadi Awang.

Kejutan berlaku pada pilihan raya April 1982 apabila Anwar menyertai Umno sekalipun beliau disebut-sebut bakal masuk PAS, malah Asri pernah sekurang-kurangnya dua kali mempelawa tokoh Islam itu untuk dijadikan Presiden PAS.

Kesannya, PAS terus menanggung kekalahan pada pilihan raya dan hanya mampu mengekal lima kerus Parlimen.

Bagi menampung kenaikan mendadak Anwar dalam Umno dan penyerapan politik Islam dalam parti itu, PAS mula berubah dengan sendiri. Pada Muktamar PAS 1982, kelompok Kaum Muda PAS menggulingkan Asri.

Maka, bermulalah era PAS dan Umno berlumba-lumba menjuarai isu Melayu dan melarat-larat dengan berebut-rebut untuk memenangi isu berkaitan Islam.

Kebangkitan gerakan Islam domestik itu berkait rapat dengan pengaruh Revolusi Iran pada 1979 hingga menyaksikan pertempuran sengit antara Umno-Anwar dan PAS-Kaum Muda terutama Hadi.

Pemecatan Anwar 1998

Antara 1982 hingga 1998 juga menyaksikan Umno berpecah kepada Tim A dan Tim B selepas perseteruan antara Umno (baru) pimpinan Dr Mahathir dan Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.

Namun, selepas kekalahan teruk pada pilihan raya 1995, Semangat 46 kembali kepada Umno pada tahun berikutnya.

Pada pilihan raya 1990, PAS dengan dibantu Semangat 46 menawan Kelantan sekaligus meletakkan asas kepada pimpinan utama PAS untuk memujuk pengundi Melayu moderate berikutan ramai aktivis muda menyertai PAS.

Kemunculan Semangat 46 pula dapat menyatukan dua kem itu dan bekerja bersama-sama sekaligus membuka jalan kepada kemungkinan gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, saya tidak menganggap Semangat 46 sebagai suatu gempa politik kerana ia tidak memberi impak berpanjangan terhadap iklim politik Malaysia.

Ia disusuli pemecatan Anwar pada 2 September 1998 dan penangkapannya ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 20 September. Insiden itu menjadi pemangkin kepada dua sejarah perubahan spektrum politik tanah air.

Pertama, ia membentuk Parti Keadilan Nasional yang kemudian ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas pemecatannya, Anwar menolak pelawaan menyertai PAS atau Parti Rakyat sebaliknya menubuhkan PKR. Ini menjadikan bilangan parti pembangkang ialah empat berbanding trio sebelumnya, DAP, PAS dan Parti Rakyat.

Kemudian, Barisan Alternatif dibentuk pada 24 Oktober 1999 dan bertanding pada pilihan raya 1999.

Kedua, kemunculan kelompok progresif dalam PAS. Sebelum 1998, ahli PAS kebanyakannya dari empat negeri di Pantai Timur, kebanyakannya berlatar belakang pertanian, peladangan, pemilik kecil dan pekerja kelas.

Tetapi selepas insiden Anwar, masyarakat Melayu dari semua negeri di Semenanjung Malaysia beramai-ramai menyertai PAS termasuk golongan profesional. Dalam setahun pemecatan Anwar, keahlian PAS melonjak dari 450,000 to 800,000.

Mungkin ada mempertikai bahawa perpecahan PAS akibat masalah dalaman parti kerana gagal menangani Kelas 1998 dan Kelas 1982. Hasilnya ia berpecah kepada PAS dan membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara.

Insiden Anwar mengubah suasana politik Melayu.

Sejak itu, PKR dan kelompok progresif dalam PAS berjuang melawan rasuah, nepotisme dan amalan tidak demokratik yang menjadi amalan Umno. Orientasi politik itu berlawanan dengan kelompok konservatif dalam PAS dan Umno.

Dalam menjejak susur galur spektrum politik Malaysia, isu dominan ialah matinya perjuangan gerakan kiri dan anti-konolial pada 1969, kemudian era politik berasaskan kaum, diikuti perjuangan politik Islam dan akhirnya perjuangan gerakan Reformasi.

Dengan berlakunya gempa politik pada 2015, bagaimana agaknya peralihan suasana politik
selepas ini?

*Diterjemah dan disunting dari tulisan Liew Chin Tong. Beliau ialah Ahli Parlimen Kluang.