Berita

Najib beri kelulusan bertulis pinjaman 1MDB?

KUALA LUMPUR 28 SEPT: Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan sama ada Perdana Menteri itu ada meluluskan perjanjian jaminan pinjaman segera untuk bon 1MDB bernilai US$3.5 bilion (RM14.82 bilion).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua  berkata, Najib perlu memberi jawapan terhadap perjanjian dengan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) membabitkan bon itu pada 2012.

Persoalannya, beliau berkata, sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan memberi kelulusan bertulis kepada transaksi pinjaman itu seperti yang disyarat mengikut Memorandum dan Artikel (M&A) 1MDB.

Katanya, Klausa 117 M&A memerlukan Perdana Menteri memberi kelulusan bertulis untuk sebarang perjanjian membabitkan 1MDB termasuk pelaburan firma atau apa-apa penstrukturan semula.

“Jika Najib tidak memberi kelulusan bertulis dalam isu bon itu , lembaga pengarah 1MDB mesti dipertanggungjawab kerana melanggar mandat yang diberi kepada mereka.

“Jika benar Najib berbuat demikian pula, beliau perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengapa bersetuju dengan terma perjanjian bon berkenaan yang mengakibatkan krisis 1MBD,” katanya.