Berita

BERSIH 2.0 bentang akaun penyumbang, siapa ‘derma’ Najib RM2.6 bilion?

KUALA LUMPUR 6 OKT: Selepas melunaskan janji membentang akaun kutipan perhimpunan aman Bersih 4, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini meminta Datuk Seri Najib Razak berbuat demikian dengan mendedahkan butiran ‘derma’ RM2.6 bilion.

“Kini, tiba giliran Najib untuk mendedahkan akaun RM2.6 bilionnya pula. Sekiranya gagal berbuat demikian, maka jelaslah kredibiliti beliau hilang sama sekali,” kata kenyataan media Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 hari ini.

Mengikut kenyataan beserta lampiran terperinci, sekitar 27,000 penderma menyumbang secara purata RM76 seorang dengan majoriti menderma antara RM10 hingga RM50, berdasarkan penyata bank sebanyak 2,126 halaman.

Jumlah derma yang diterima ialah RM2,064,652.74.

Hasil jualan kemeja-T Bersih 4 pula sebanyak RM553,914 manakala jualan mafla (RM28,795) yang membawa kepada jumlah besar RM2,647,361.74.

Jumlah perbelanjaan termasuk pra-perhimpunan dan sepanjang perhimpunan ialah RM664,052.52 manakala lebihan RM1,983,309.22 akan digunakan untuk program akan datang.

Antaranya program pendidikan pengundi, kos mahkamah, latihan dan sebagainya yang dibuat dalam tempoh dua tahun. – Roketkini.com