Berita

Tiada pendakwaan sebagai tukaran Najib berundur cadangan ‘berbahaya’

KUALA LUMPUR 6 OKT: Cadangan untuk menawarkan perlindungan undang-undang kepada Datuk Seri Najib Razak dari pendakwaan jenayah sebagai tukaran kepada peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, bertentangan dengan semangat perundangan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugur, Ramkarpal Singh menyifatkan cadangan wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin melalui tulisan di blognya 4 Oktober lalu, sebagai berbahaya dan membawa banyak kesan buruk kepada negara.

Menegaskan hanya pemberi maklumat berhak memperoleh perlindungan undang-undang, beliau berkata Najib perlu dibicara dan dihukum mengikut sistem perundangan jika ada bukti jenayah terhadapnya.

Katanya, cadangan supaya Najib diberi laluan selamat hanya mewujudkan persepsi betapa sesuatu jenayah boleh terlepas begitu sahaja dan mungkin penggantinya menuntut layanan sama jika menyalahgunakan kedudukan mereka.

“Cadangan itu tidak menyelesaikan masalah di negara ini,” katanya mengulas cadangan Kadir yang menjadikan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe; bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dan Presiden Togo, Faure Gnassingbe sebagai contoh.

Mengikut Kadir, semua individu itu berundur dengan diberi laluan selamat meninggalkan negara masing-masing atas alasan untuk menyelamat ekonomi negara dari menjadi lebih buruk dan i pemerintahan mereka ditolak rakyat.

Alasan Kadir ialah Najib bimbang ditahan dan disiasat Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi lain sebaik sahaja meletak jawatan.

Pada kenyataan media hari ini, Ramkarpal sebaliknya berkata, Kadir sepatutnya mencadangkan reformasi menyeluruh bagi membasmi gejala rasuah jika beliau benar-benar mengambil berat keadaan negara.

“Jika ada bukti jenayah terhadap Najib, ia hasil amalan budaya selama ini berikutan rasuah yang berleluasa menjadi kelaziman. Najib hanyalah sebahagian dari budaya itu,” katanya.

Beliau juga percaya perubahan menyeluruh khususnya membanteras gejala rasuah hanya boleh dilakukan melalui pertukaran kerajaan dengan menghapus polisi tertentu yang memudahkan penyalahgunaan kuasa.

“Hanya selepas itu, barulah reformasi sebenar dapat dibuat di pelbagai institusi terutama yang mendapat kecaman hebat seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” katanya. -Roketkini.com