Berita

Zahid patut ambil tindakan terhadap menteri main sentimen perkauman

KUALA LUMPUR 6 OKT: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi patut mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja termasuk menteri kabinet yang mengungkit isu perkauman.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar itu meminta Zahid supaya tidak hipokrit dan berat sebelah berikutan ada pemimpin utama negara terang-terangan memainkan isu perkauman untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian sesuatu kaum.

“Slogan perpaduan seperti 1Malaysia dilaung-laungkan. Pada ketika lain, seorang pemimpin parti politik pula membarakan semangat perkauman.

“Adakah Zahid sanggup mengambil tindakan tegas terhadap menteri kabinet yang mengungkitkan isu perkauman yang sensitif?” katanya yang mengakui kurang yakin Zahid akan bersikap neutral.

Sivakumar membuat kenyataan media hari ini susulan ucapan Zahid pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN semalam yang menyeru supaya menghentikan mainan sentimen dan ugutan perkauman.

Mesyuarat Khas itu mengenai Peningkatan Fahaman Radikal dan Keganasan Melampau yang berlangsung di Hotel InterContiental di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat kenyataan rasis mahu ‘melempang’ orang Cina di Malaysia sebelum kemudian menyatakan ia merujuk kepada Cina DAP.

Sivakumar juga berharap ucapan Zahid itu bukan bukan sekadar untuk menarik perhatian delegasi luar negara kerana isu perkauman di negara ini menjadi permainan politik pelbagai pihak.

Mahu konflik perkauman dibendung awal, beliau berkata, rakyat kian hilang keyakinan kepada pemimpin negara yang membarakan api perkauman dan sengaja ditimbulkan untuk menjuarai kaum masing-masing.

“Negara kita negara majmuk yang ada reputasi antarabangsa untuk kepelbagaian etnik, agama, budaya dan bahasa. Kita tidak boleh benarkan mana-mana pihak memusnahkan khazanah kemajmukan ini untuk kepentingan mereka.

“Ini perkembangan tidak sihat, malah boleh menghancurkan negara kita,” kata Timbalan Pengerusi DAP Perak yang turut meminta Zahid mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mempertikai kewujudan sekolah vernakular di negara ini. – Roketkini.com