Rencana

Impian Sarawak: Tawar pendidikan, perubatan bagi golongan miskin dan terpinggir

Ros Matius Mian belum pernah melihat anak-anaknya tidak sabar ke sekolah, dengan anak paling kecil bangun sebelum subuh untuk bersiap ke kelas.

Namun, itulah pengalaman kebanyakan ibu bapa di kawasan setinggan Kampung Pasir, setengah jam perjalanan dari bandar Miri.

Selama kira-kira seminggu, persekitaran suram mereka bertukar meriah dengan jerit-pekik kanak-kanak dan keriuhan muzik menerusi Kem Pendidikan anjuran Impian Sarawak.

Menerusi kem itu, sukarelawan memberi tunjuk ajar mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa Inggeris kepada kanak-kanak miskin dengan suasana yang lebih menyeronokkan.

Ia salah satu perkhidmatan terkini yang ditawarkan dalam program Impian Sarawak kepada golongan miskin dan terpinggir di negeri Borneo itu.

Ia susulan kejayaan inisiatif khidmat masyarakat DAP sejak dua tahun lalu menerusi pembinaan jalan raya dan sistem pengairan bagi kampung terpencil di Sarawak dan Sabah.

Di samping kem pendidikan, mereka juga mengadakan kem perubatan dengan doktor dan jururawat sukarela merawat penyakit asas termasuk mencabut gigi serta membantu pesakit menangani masalah jangka panjang seperti penyakit jantung dan kencing manis.

“Kem pendidikan dan perubatan dimulakan bagi memperluas perkhidmatan kami ke luar bandar dan pinggir bandar yang dilengkapi infrastruktur, tetapi tidak cukup dengan kemudahan lain,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kidurong, Chiew Ching Sing.

 

Usaha bersama

unnamed (1)

Gambar oleh Malaysian Insider

Kampung Pasir adalah contoh terbaik. Hubungan antara jiran di rumah kampung yang hampir roboh itu agak lemah disebabkan ia berada di kawasan “kelabu”.

Menurut Adun Piasau, Alan Ling, majlis perbandaran menyediakan beberapa perkhidmatan tetapi ia bukan satu kejiranan yang formal.

Penduduk miskin kampung ini tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan dan di sana, hampir tiada ruang penduduk berkumpul.

Inilah sebabnya mengapa kem pendidikan itu diterima baik ibu bapa dan anak-anak mereka, kata Bidin Jamilan yang menghantar dua anaknya yang bersekolah rendah dan anak perempuannya berusia 14 tahun ke program itu.

“Ini memberi peluang kami berkumpul bersama kerana sedikit sangat program yang dianjurkan di sini,” katanya yang bekerja memandu lori.

Ibu bapa bekerjasama menyediakan makanan untuk anak-anak mereka serta sukarelawan Impian Sarawak yang berperanan sebagai guru.

Sukarelawan tinggal di rumah penduduk kampung manakala remaja dalam lingkungan umur seperti anak perempuan Bidin, menjadi pembantu guru bagi menjaga kanak-kanak kecil.

Murid melalui bimbingan guru sukarelawan turut membantu mengangkat kerusi, menyusun alat tulis dan menyimpan bahan pengajaran di bilik darjah kecil mereka yang merupakan sebuah rumah sumbangan seorang penduduk.

Seperti projek infrastruktur Impian Sarawak, kem itu juga menekankan pentingnya penyertaan seluruh masyarakat supaya setiap orang berasa yang mereka sebahagian daripada projek itu, kata Ling.

“Semua ibu bapa secara sukarela datang. Malah mereka yang tiada anak juga, turut datang membantu memasak,” kata Ros, 42.

Kem pendidikan di Kampung Pasir itu adalah program ke-7 di bawah Impian Sarawak.

 

Menderita dalam diam

Seperti kem pendidikan, perkhidmatan perubatan Impian bersifat sangat asas tetapi ia dialu-alukan masyarakat sekitar yang sukar mendapatkan pengangkutan untuk ke hospital kerajaan terdekat.

Satu daripada kem perubatan yang dilawati ialah tiga rumah panjang di sepanjang Sungai Kemena, 3 jam perjalanan menggunakan bot dari pekan Bintulu.

12038318_871730816209897_4025555594500041676_nDr Ko Chung Sen, sukarelawan yang juga Ahli Parlimen Kampar merawat seorang pesakit di Kampung Pasir, Miri. Ramai penduduk luar bandar menghidap penyakit yang boleh membunuh dalam diam seperti tekanan darah tinggi dan sakit otot kerana sukar mendapatkan rawatan.

Doktor, doktor gigi dan jururawat sukarela biasanya akan bermalam di rumah panjang bersama-sama dengan keluarga yang akan dirawat sebelum bertugas keesokan harinya.
Chiew berkata, kebiasaannya, 3 lokasi dilawati pada setiap kali tugasan.

Naritapula Liban, 52, bersama penghuni rumah panjang Rumah Inai lain, menyewa sebuah bot untuk berjumpa para petugas di kem perubatan yang ditubuhkan di Kampung Sengok.

Kebanyakan penduduk kampung lebih suka bertemu doktor gigi kerana perkhidmatan pergigian kerajaan sukar diperoleh di kawasan pedalaman.

“Doktor gigi kerajaan hanya datang setahun sekali ke rumah panjang. Untuk pergi ke Bintulu bagi mendapatkan rawatan, kosnya mahal, melainkan jika kita benar-benar sakit,” kata Naritapula menambah, ramai penduduk cuba tidak mempedulikan sakit gigi mereka.

“Kem ini bagus kerana mereka membawa perkhidmatan itu kepada kita. Saya tidak pernah melihat klinik bergerak kerajaan masuk ke kawasan rumah panjang.”

Dalam tempoh 3 hari kem perubatan itu, mereka merawat 241 pesakit di 3 rumah panjang dan mencabut 221 gigi.

Seorang doktor gigi di kem itu, Dr Tiew Soon Tat berkata, kesihatan gigi yang tidak dijaga adalah perkara biasa dalam kalangan masyarakat pedalaman kerana sukar mendapatkan rawatan perubatan gigi.

Walaupun terdapat klinik desa di kawasan pedalaman, Chiew berkata mereka tiada kakitangan dan peralatan yang mencukupi.

Doktor gigi yang bagus pula jarang ditempatkan di kawasan seperti ini.

Doktor sukarelawan, Dr Ko Chung Sen yang juga Ahli Parlimen Kampar, berkata kebanyakan penduduk luar bandar dirawat menghidap penyakit yang boleh membunuh dalam diam seperti tekanan darah tinggi dan sakit otot, kerana mereka sukar mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti berikutan masalah pengangkutan.

“Jadi, walaupun kerajaan membina klinik di kawasan pedalaman, orang kampung tidak mampu mendapatkan perkhidmatan ini kerana tiada jalan raya untuk ke klinik itu.”

 

* Disunting dan dipetik dari The Malaysian Insider