Berita

DAP sokong titah Raja-raja Melayu segera selesaikan siasatan 1MDB

GEORGE TOWN: DAP hari ini menyokong titah Raja-raja Melayu yang mahu Kerajaan Persekutuan menyelesaikan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secepat mungkin.

Menyifatkan perkara itu serius, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata Raja-Raja Melayu juga mahu tindakan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

“Pendirian kami bukan hanya untuk mengulangi seruan Persidangan Majlis Raja-Raja tetapi juga menggambarkan kebimbangan rakyat,” katanya dipetik Astro Awani selepas melancarkan Pusat Janaan Kreatif, Analitikal dan Teknologi di sini, hari ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Selasa lalu mengeluarkan kenyataan yang mahukan kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan 1MDB dan mengambil tindakan tegas sewajarnya terhadap pihak terlibat.

Dalam kenyataan itu, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan itu berjaya.

Mengikut kenyataan Bank Negara (BNM) semalam, Guan Eng berkata bank pusat itu mengesyorkan tindakan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara ke atas mereka yang terlibat.

Namun, katanya, Pejabat Peguam Negara mendapati tiada bukti.

“Jadi sehingga dan sekiranya isu itu tidak berjawab, kenyataan dan pengumuman yang dibuat Persidangan Raja-Raja tidak akan dihormati dan dipatuhi,” katanya.

Khamis lalu, Pejabat Peguam Negara pada kenyatannya mendapati pegawai 1MDB tidak membuat kenyataan palsu yang merupakan fokus siasatan Bank Negara, dengan menyatakan tiada kesalahan yang dilakukan, jadi tiada tindakan lanjut akan diambil.

Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keutamaan kini ialah mengembalikan keyakinan rakyat dengan meminta Pejabat Peguam Negara menjelaskan mengapa mereka enggan memfail dakwaan yang disyorkan Bank Negara.

“Kegagalan itu akan memberi kesan terhadap kredibiliti mereka dan isu ini perlu ditangani bagi mengembalikan keyakinan dalam kalangan pelabur terutama di peringkat antarabangsa,” katanya.