Sastera

CERPEN: Ai-Pee-Yu

 

JOYO pusing. Maksud aku, kepalanya pusing. Sejak sebulan lalu matanya hanya nampak asap. Asap ini bukannya asing baginya pun. Ia kiriman kerabatnya sendiri juga dari seberang selat. Maka sebab itu dia teragak-agak mahu marah. Entah-entah yang membakar itu ayahnya sendiri di sana. Atau yang mengarah pembakaran itu pamannya yang memiliki perusahaan besar. Atau paling tidak, adik bongsunya bekerja kerani di salah satu syarikat terbabit.

Tapi resam baru ini sudah mengganggu. Maksud aku, mengganggu amat. Joyo kini saban waktu harus periksa dulu IPU sehari-hari sebelum mahu ke mana-mana. Malah kadang-kadang harus setiap beberapa jam sekali. Rutinnya seperti makan ubat hospital atau periksa waktu solat.

Dan Joyo bukannya ada aplikasi telefon pintar yang menyediakan kemudahan itu – memeriksa IPU. Dia hanya pandang mata kasar. Hari ini asap tebal. Semalam kurang tebal. Pagi tadi hujan, maka penglihatan agak baik. Tapi, menjelang waktu makan tengah hari, tebal semula dan sehingga petang, Kamalanathan muncul di kaca tivi mengumumkan esok sekolah cuti. Selama dua hari.

Hari ini Joyo memeriksa IPU lagi dengan cara sendiri. Dia merasa asap di luar dengan lidah. Agak lebih pahit berbanding malam tadi. Lalu dia mencatat bacaan IPU-nya di buku nota tiga lima yang disediakannya sejak sebulan lalu – pahit berdenting kemasam-masaman, berpasir dalam dua-tiga butir. Dengan mata kasar, asap tebal dicerapnya kira-kira halaman novel The Old Man and The Sea; maknanya tidak berapa tebal. Ia kira-kira lebih baik berbanding tiga hari lalu sewaktu asap setebal laporan 1MDB yang diserahkan kepada PAC – tahap bahaya dan boleh membawa maut.

Di sebalik bacaan hari ini, Joyo tetap membuat keputusan untuk keluar. Ada urusan yang perlu diselesaikannya dengan Rosalinda. Berbekal topeng jururawat yang dibekalkan syarikat, Joyo meminta izin meminjam motosikal aku untuk langsung ke pinggir kota.

Asap makin tebal. Joyo terpaksa menyelak kepingan-kepingan asap di depannya seperti menyelak langsir. Sewaktu Joyo menghampiri muka pintu, aku sudah pun kehilangan visualnya. Aku hanya dengar enjin motosikal C70ku dihidupkan Joyo beberapa saat selepas itu. Jarak penglihatan sudah jatuh sehingga sepuluh meter.

Sejurus Joyo pergi, aku menuju ke meja kecilnya di tepi tingkap. Di sinilah dia mencatat bacaan IPU saban pagi dan saban petang, menggunakan dua organ derianya yang paling sensitif; mata dan lidah. Aku membelek buku nota kecilnya yang sudah pun dilabel besar-besar “IPU” pada kulit buku.

Tidak pula kutahu sejak asap kiriman seberang mula datang ke mari, minat Joyo sudah beralih dari kesusasteraan kepada kejuruteraan alam sekitar.

Hatiku kaubakar
Dengan api cinta
Asapnya rindu
Kepul-kepul jerebu
Samar pandangan
Sesak nafasku
Marak ini
Jangan padamkan.

Sajak terakhir Joyo sebelum buku notanya dipenuhi bacaan-bacaan IPU. Tentang sajaknya, aku tidak mahu tafsir. Aku serahkan kepada kamu semua di luar sana untuk membuat tafsiran sendiri kerana kata Roland Barthes, penulis sudah mati.

Ya, ya, kamu akan kata: boleh saja aku tafsir kerana sajak ini ditulis Joyo. Tapi yang kamu lupa ialah keseluruhan cerita ini aku yang tulis. Termasuklah sajak ini. Maka takkanlah aku mahu mengulas sajak sendiri, bukan?

Pada muka surat berikut terselit gambar seorang gadis. Aku percaya ia Rosalinda, gadis Amerika Latin yang ditemui Joyo sebelum jerebu. Sering dia ceritakan kepadaku saban malam kegembiraan serta keghairahannya; perasaan-perasaan baru yang diterokai sejak Rosalinda hadir dalam hidupnya.

Rosalinda berambut kembang, berpipi kentang. Mata agak sepet seperti Cina. Kurang tinggi. Apabila berbicara, sering putus nafas. Kebanggaannya yang paling besar ialah rangkaian gelang-gelang yang melingkari lengannya yang tembam. Kiri dan kanan.

Hampir pasti aku akan mengaitkan watak Rosalinda ini dengan isteri seorang pemimpin besar dalam negara ini berdasarkan penjelasan Joyo itu. Tetapi aku diamkan sahaja dari Joyo, takut-takut mengecilkan hatinya.

Kata Joyo, sejak jerebu muncul, hubungan dia dengan Rosalinda jadi tidak menentu. Ia seperti bacaan IPU yang sekejap tinggi, sekejap rendah – sukar diramal. Asap tebal telah mengganggu talian telekomunikasi, malah di sesetengah tempat yang teruk tercemar, asap telah menjadi demikian berat sehingga memotong wayar-wayar pencawang telekomunikasi sehingga putus.

Joyo tidak dapat menghubungi Rosalinda sejak itu lalu hubungan mereka berjerebu.
Aku mahu beralih ke muka surat seterusnya apabila asap makin tebal. Menurut agakanku, bacaan IPU meningkat lagi.

Aku menjelirkan lidah, meniru aksi Joyo sewaktu dia menyukat bacaan IPU. Sebelum sempat kujelirkan lidah sepenuhnya sudah dapat kurasakan pahit dan kelat seperti menggigit sebutir peria katak. Aku meludah keluar tingkap tetapi ludahanku melantun kembali ke muka apabila terkena kepulan asap tebal yang sudah mengeras. Celaka.

Segera aku menutup tingkap rapat-rapat tetapi tidak ada gunanya kerana di dalam rumah sudah pun dipenuhi asap. Aku tidak dapat melihat tanganku sendiri apatah lagi membaca muka surat seterusnya buku nota Joyo.

Pada waktu kecemasan sebegini, aku berbuat seperti apa yang dilakukan oleh hampir semua orang; mencari telefon pintar. Tetapi dalam samar-samar aku terlanggar seketul asap keras sebesar bangku sebelum tersadung jatuh. Kufikir hidungku berdarah.

Aku teringatkan Joyo. Dan Rosalinda. Asap semakin merebak seperti wabak. Telefon pintar dapat kutemui apabila ia berbunyi dan menyala. Joyo menelefonku dari Melaka.

Tanpa pengetahuanku Joyo sudah berada di Melaka bersama Rosalinda untuk menyelesaikan isu perhubungan mereka. Dia akan membawa Rosalinda dari sana menemui kedua ibu bapanya di Dumai sebelum langsung bernikah. Ketul-ketul asap jerebu yang mengeras telah memenuhi ruang udara sebelum jatuh ke bumi dan terapung di lautan.

Joyo menggunakan kesempatan itu menyusunnya satu-satu, menjadikannya jambatan menyeberang selat dari Melaka ke Dumai. Aku tidak tahu mana satu yang gila; Joyo atau alam. Atau aku sendiri. Tetapi yang aku tahu Joyo menggunakan motosikalku ke sana. Celaka. Maksud aku, memang betul-betul celaka.

* Haizir Othman adalah penulis muda yang aktif dalam penulisan cerpen, sajak dan esei. Memiliki antologi sajak persendirian berjudul Espionaj, selain antara pemenang Sayembara Penulisan ITBM menerusi antologi cerpen bertajuk Siaran Radio Lewat Pagi.

* Gambar hiasan dipetik daripada english.cntv.cn