Berita

Peruntukan bantuan besar, jumlah mangsa ribut terima kecil

KUALA LUMPUR 12 OKT: DAP Sabah mengesyaki ada sesuatu tidak kena dalam pengagihan sumbangan kepada mangsa ribut di Tawau, Sabah berikutan mangsa hanya menerima sejumlah kecil bantuan sedangkan peruntukannya besar.

Mempersoal mekanisme pengagihan, Naib Pengerusinya, Chan Foong Hin, berkata ada mangsa mendakwa menerima hanya RM3,000 sedangkan kerosakan rumahnya teruk hingga bumbung diterbangkan ribut.

Sedangkan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong itu pada kenyataan media hari ini berkata, peruntukan bantuan berjumlah RM640,000 untuk membaiki 162 rumah.

“Seorang mangsa memaklumkan hanya menerima wang tunai RM1,000 daripada Ahli Parlimen Tawau, Mary Yap dan barangan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM2,000,” katanya.

Beliau juga curiga berikutan JKM tidak memberi bantuan secara tunai, sebaliknya mengarah semua mangsa mengambil keperluan membaiki rumah bernilai RM2,000 di kedai perkakasan tertentu.

“Kedai itu pula bukan pembekal sebenar. Jadi siapa orang tengah yang mengambil kesempatan atas kesusahan mangsa hingga dapat untung. Bagaimana boleh orang tengah dapat RM1,000 tanpa berbuat apa-apa?

“Jika semua 162 rumah dibaiki menggunakan orang tengah itu, mereka senang-senang dapat untung RM162,000 dari derita mangsa ribut,” katanya yang mendesak Mary menyiasat hal itu.

Semua 162 rumah sekitar Apas dan Balung landa ribut selepas hujan lebat kira-kira jam 2 pagi, akhir September lalu. – Roketkini.com