Berita

Kenaikan kadar tol akibat perjanjian berat sebelah

KUALA LUMPUR 14 OKT: DAP mempertikai keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar tol 18 lebuh raya ketika kebanyakan syarikat konsesi bakal meraih keuntungan lumayan apabila tempoh konsesi berakhir sekalipun mengekal kadar sedia ada.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengkhianati rakyat apabila berbuat demikian ketika mereka terbeban dengan cukai barangan dan perkahidmatan (GST) selain kejatuhan ketara nilai ringgit.

Beliau turut mempersoal mekanisme yang digunakan kerajaan bagi pengiraan kadar tol dan pulangan pelaburan kepada syarikat konsesi apabila perjanjian ditandatangani.

“Siapa yang patut dipersalah jika bukan BN kerana mereka yang menandatangani perjanjian konsesi berat sebelah?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Mengambil Lebuhraya Baru Pantai (NPE) sebagai contoh, Nie Ching berkata keuntungan sebelum cukai dari 2008 hingga 31 Mac 2015 ialah RM243.81 juta berdasarkan laporan IJM Corporation Berhad.

Beliau berkata, tempoh konsesi bermula pada 12 September 2016 untuk tempoh 33 tahun dan 12 bulan manakala kos pembangunan lebuh raya kira-kira RM1.3 bilion, malah ada menerima pampasan RM184 juta pada 2009.

Pampasan itu, katanya berikutan penangguhan kenaikan kadar pada 2009, pengurangan kadar sebanyak 50 peratus untuk bas pada 2008 dan pemansuhan Plaza 2 PJS pada Februari 2009.

“Pertumbuhan purata keuntungan sebelum cukai untuk tiga hingga lima tahun operasi, masing-masing lebih tinggi 30 peratus dan 25 peratus.

“Tanpa mengambil kira kenaikan kadar tol semasa dan masa depan, NPESB dijangka mencatat keuntungan RM15.109 bilion atau RM9,684 juta pada akhir tempoh konsesi,” katanya.

NPE dikendali New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPESB), anak syarikat IJM Corporation Berhad.