Berita

Bahas kenaikan kadar tol di Parlimen, DAP mahu bawa usul tergempar

KUALA LUMPUR 17 OKT: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mahu membawa usul tergempar bagi membahas kenaikan kadar tol mendadak di 18 lebuh raya seluruh negara apabila Parlimen bersidang Isnin ini.

Beliau berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin membenarkan usul itu, malah meminta Ahli Parlimen dari blok kerajaan mahupun pembangkang menyokongnya atas dasar kepentingan negara dan kesan ekonomi.

Lip Eng“Ahli Parlimen patut berbahas hal itu dan meneliti perjanjian konsesi tol serta mencari jalan menghentikan kenaikan harga tol tanpa perlu membayar pampasan kepada operator lebuh raya.

“Dewan Rakyat juga patut berbahas kemungkinan kerajaan mengambil alih syarikat konsesi tol lebuh raya untuk mengelakkan situasi kenaikan tol mendadak berlaku lagi,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Mulai 15 Oktober lalu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membenarkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya antara 20 hingga 220 peratus sekalipun rakyat pada masa ini terbeban dengan pelbagai kenaikan harga.

Lip Eng berharap pihak kerajaan mengetepi perbezaan politik dengan menyokong perbahasan usul itu demi kepentingan bersama, khususnya rakyat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.