Berita

Strukturkan semula perjanjian konsesi elak kenaikan tol

KUALA LUMPUR 18 OKT: Kerajaan Persekutuan perlu membuat penstrukturan semula perjanjian konsesi lebuh raya bagi mengurangi kesan kegagalan mereka yang menyebabkan kenaikan kadar tol hingga membebankan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Ng Tien Chee, berkata perbincangan dengan syarikat konsesi perlu dibuat dan pembinaan lebuh raya intra negeri boleh dipertimbang sebagai pampasan asalkan syarat perjanjian didedah kepada umum.

Beliau menyifatkan matlamat penswastaan melencong dan menyebabkan kerajaan sebenarnya membiayai keseluruhan kos pembinaan lebuh raya manakala syarikat konsesi mendapat pulangan lumayan.

“Ini menunjukkan kegagalan kerajaan yang merugikan rakyat dengan menandatangani perjanjian konsesi lebuh raya yang berat sebelah dan langsung tiada ketelusan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Ng Tien CheeMerujuk Lebuhraya Cheras-Kajang, Tien Chee berkata, Kerajaan Persekutuan sebenarnya menampung keseluruhan kos pembinaan lebuh raya itu tanpa menswastakannya.

Katanya, ia berikutan nilai pampasan kepada syarikat konsesi itu, Grand Saga Sdn Bhd (GSSB) berjumlah RM284.48 juta didakwa melebihi kos pembinaan lebuh raya berkenaan iaitu RM275 juta.

“Kerajaan dikatakan membayar RM104.93 juta dan mengecualikan bayaran pinjaman kepada GSSB sebanyak RM59 juta dengan faedah. Berikutan itu, pampasan RM120.55 juta dikatakan dibayar kepada GSSB pada 2012,” katanya.

Belliau juga kesal kerana perjanjian konsesi lebuhraya itu yang ditandatangani kerajaan dengan GSSB pada 1995, membenarkan syarikat konsesi itu menaik taraf sebahagian Jalan Cheras dan mengutip tol selama 30 tahun.

Malah, katanya, tempoh konsesi yang sepatutnya berakhir 2025 dilanjutkan beberapa kali iaitu dua tahun pada 2002, tiga tahun (2011), 15 tahun (2012).

 

*Gambar utama dipetik dari laman rasmi GSSB