Berita

DAP Pahang serah bantuan kepada orang Asli Pos Tohoi

MENTAKAP 19 OKT: Rombongan DAP Pahang baru-baru ini menziarahi dan menyerahkan sumbagan kepada beberapa keluarga orang Asli yang kematian anak di Pos Tohoi di sini, minggu lalu.

Mereka menyerahkan enam set barangan makanan antaranya sabun, minyak masak, gula, pampers, berus gigi, biskut, beras, makanan ringan, ayam dan sardin selain pakaian kanak-kanak kepada mereka.

Pengerusinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata rombongan itu turut disertai lima keluarga Tok Batin dari Lubuk Perah, Bera dekat sini, juga bermalam di rumah keluarga mangsa, Khamis lalu.
SUFI0255Turut meninjau kawasan penemuan mayat, beliau berkata, rombongan mereka mendapat sambutan mesra dari keluarga mangsa yang memaklumkannya banyak kejadian tidak dilapor dalam media arus perdana atau berat sebelah.

“Apabila berbual dengan keluarga mangsa, nampak sangat jauh berbeza dengan laporan media arus perdana seolah-olah ada tapisan,” katanya yang turut melawat Tok Batin Kampung Tohoi, Ahmad Abdullah yang uzur.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab itu berkata, kerajaan patut memperbanyak guru dari kalangan orang Asli untuk mendidik etnik mereka melalui pendekatan sesuai yang berbeza dengan kawasan bandar.

“Mereka lebih tahu adat resam dan dapat mengelakkan salah faham. Mungkin berbeza dengan pengajaran di bandar,” katanya sambil mendesak Kerajaan Persekutuan lebih memberi perhatian kepada golongan minoriti seperti orang Asli.

Turut menziarahi mereka secara berasingan ialah Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.