Rencana

Kegopohan politik, mimpi syariah dan hijab Istanbul

KELANTANGAN Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dalam membawa panji Islam mengangkatnya sebagai ‘Tiger of Islam’.

Ramai teruja dengan program nuklear Iran dan memberi sokongan. Bahkan, masyarakat mengutuk Amerika yang cuba menghalang program itu walaupun Iran bertegas ia akan digunakan sebagai sumber elektrik.

Namun, selepas isu Syiah melanda, mereka mula mengganas. Cerita bertukar 180 darjah.  Media menggambarkan kejamnya Syiah hinggalah ke konflik Syria. Maka, kisah Ahmadinejad terpadam.

Muncul wajah baru, Recep Tayyip Erdogan. Banyak kenyataannya mengangkat maruah orang Islam. Dari isu Palestin, Syria dan Mesir. Juga Rohingya. Erdogan bagai singa – mengaum dan ngaumannya tersebar luas ke persada antarabangsa.

Tentang ketegasannya mempertahan Ahli Sunnah Wal Jamaah di depan puak Syiah, keberanian mempertahan maruah Islam dalam persidangan antarabangsa yang dihadiri pemimpin negara gergasi.

Sesiapapun umat Islam termasuk saya mudah sekali teruja dengan watak Erdogan – berani berhujah dan tegas menyatakan pendirian, tidak takut dengan tindakan balas mana-mana negara.

Terbayang Turki yang gah dipimpin seorang ‘Asadullah’. Tentang hijab, masjid yang penuh saf, tiada pusat maksiat secara legal. Malah, tergambar betapa Turki mungkin negara bayangan pemerintahan khalifah Islamiah.

Barangkali iman rakyatnya seteguh iman Abu Bakar as-Siddiq. Tegas dalam agama bak Saidina Umar al-Khattab.

said nursiTerbayang negara tinggalan Badiuzzaman Said Nursi yang penuh kesufian – dendangan qasidah dan burdah di serata tempat. Allah! Hampir pecah kepala membayangkan modenisasi Turki dan sekularisme zaman Mustafa Kemal Attaturk berubah di tangan Singa
Islam.

Namun, semua itu hanya mimpi, tidak wujud. Seperti bermimpi saintis mencipta mesin masa yang mengembalikan manusia pada masa lampau dan menghantar manusia ke masa depan.

Walaupun perempuan Turki manis berhijab di Mesir, itu hanya segelintir di negara mereka. Di tempat lain, mereka memaksa orang untuk berhijab walaupun tidak faham keperluan berhijab kerana mereka sebelum ini hidup pada zaman pengharaman hijab.

Berjalan-jalan di Taksim pula, ada banyak kelab malam dan disko beroperasi terang- terangan. Saya termenung. Apakah ini kerajaan Singa Islam?

Persoalan itu dijawab seorang muslim di Turki. Islam agama yang tidak gopoh. Agama yang tadarruj. Berperingkat- peringkat dalam melaksanakan pekerjaan. Mustahil mencapai kesempurnaan sekelip mata. Untuk membina empayar Islam, bukan mudah.

Membaca cerita dan mengalaminya adalah perkara berbeza.

Keselesaan yang dikecapi rakyat Turki, kemantapan ekonomi yang meletakkan China sebagai kayu ukur dan segala-galanya kemajuan membuatkan orang lebih mudah menerima Islam.

Lihatlah bagaimana perintah Allah swt kepada Rasul diturunkan. Namun, kita membacanya dalam sehari dan kita menghabiskan beberapa kisah penurunan ayat al-Quran.

Sedangkan, sebenarnya, ayat itu turun dalam tempoh lama antara satu dengan lain. Bermakna, Islam menjadi sempurna dan lengkap bukan dalam setahun tetapi sirah nabi tercatat dalam tempoh 23 tahun.

Mustahil sebuah kerajaan Islam yang baru berusia lima atau enam tahun, mampu melaksanakan Islam secara sempurna. Erdogan melakukannya berperingkat-peringkat.

erdoganWalaupun kerajaannya tidak sempurna syariah, beliau tegas membela negara tertindas. Jika gopoh mengubah perlembagaan, memperkenal dan mengaplikasi syariah serentak, kemenangan partinya pasti tidak mampu bertahan sekuat sekarang.

Erdogan perlu memikirkan maslahah atau keperluan lain terlebih dahulu sebelum membuat perubahan drastik. Islam bukan semata-mata dengan syariah. Sebaliknya, melalui kelembutan Islam, rahmahnya seperti yang disantuni kepada pelarian Burma dan Syria sekaligus melunakkan rakyat kepada Islam.

Malah, Kitab Syamail Muhammadiyah (buku perihal watak Nabi Muhammad) menyatakan yang membawa orang kepada agama ialah sikap pembawa agama. Rahmatnya Islam yang membela kaum wanita, hamba dan kaum miskin.

Ia disusuli meletakkan aqidah atau keyakinan dalam diri, kemudian apabila mereka percaya dan yakin, didatangkan syariah yang memandu hidup.

Untuk mencapai ke peringkat syariah lengkap, suatu jalan yang panjang. Memakan masa bertahun-tahun untuk menyempurnakan hal kemanusiaan, keperluan asasi sehingga mampu kepada syariah Islam seperti hukuman.

Turki sebelum ini ibarat Sabah dan Sarawak. Jalan raya berlubang, masalah air di mana-mana, masalah bekalan elektrik, kini berubah. Tiada perkataan mampu diungkap melihat susunan bandar Istanbul.

Tidak hairanlah, sekitar 50 peratus rakyat Turki menyokong Erdogan kerana gerak kerjanya. Beliau mengubah mentaliti kononnya muslim tidak mampu dan mustahil menandingi Barat dalam menyusun atur bandar.

Begitulah Erdogan menterjemah Islam dalam keadaan negaranya berperlembagaan sekular.

Andainya Erdogan mengubal perlembagaan dengan melaksanakan Islam yang sempurna, beliau mungkin tidak akan kekal di tampuk kuasa. Kudeta akan merampas kerajaan, maka lenyaplah Singa Islam sekelip mata.

Tiada lagi pembela ahli sunnah, tiada lagi yang mengangkat darjat golongan pelarian. Dan Islam akan dilihat kembali lemah kerana tiada lagi suara mengauman di pencak politik dunia.

Kejatuhan beberapa parti Islam dalam sesebuah kerajaan selepas satu penggal pemerintahan ialah kerana kegopohan melaksanakan Islam – hingga terlupa turutan dalam pelaksanaan.

hudud_1Kesannya, dunia menyaksikan kejatuhan kerajaan Islam dari parti Islam tumbang hanya sepenggal di tampuk kuasa. Mereka lupa untuk mengajar perihal agama kepada rakyat sebelum melaksanakan hukum-hakam.

Mereka gagal memberi pemahaman kepada rakyat bukan muslim dan persetujuan mereka sepertimana persetujuan Kristian dan Yahudi di Madinah sebelum wujudnya perlembagaan.

Akhirnya, Islam disalah faham sebagai agama yang memaksa dan menghukum manusia.

Jika parti Islam tidak mengamal tadarruj berperingkat-peringkat dalam melaksana Islam seperti berperingkat-peringkat turunnya al-Quran, nescaya kerajaan Islam yang pernah hilang dahulu, tidak akan kembali.
* Penulis adalah penuntut Malaysia di Universiti al-Azhar yang mengikuti delegasi ke Turki pada 15-18 Oktober 2015