Budaya

Sisi gelap DBP dan penerbit indie yang ‘kasar’

BUKU Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak menarik dan orang-orang dalam DBP tidak buat kerja dan mempunyai otak kecil walaupun mempunyai pejabat yang besar.

Itu antara kecaman kecaman hebat daripada penerbit Indie iaitu Fixi, Lejen Press, Dubook, dan Thukul Cetak.

Mereka marah kerana DBP gagal menerbitkan buku yang menarik orang awam untuk membacanya. Kata mereka, ‘buku yang tidak dibaca adalah buku yang gagal’. Namun, ia bukan pertama kali DBP dikritik secara terbuka.

Beberapa pihak antaranya Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPMM), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), Persatuan Pengedar Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (PPBDBP), penggiat seni, pengusaha buku, pernah melakukan hal sama.

Sebenarnya, kelesuan industri buku DBP berlaku sejak syarikat konsesi Dawama Sdn Bhd mengambil alih tugas pra-cetak, reka bentuk, percetakan, pengedaran, dan pemasaran penerbitan DBP.

Dawama mendapat kontrak 12 tahun bernilai RM120 juta setahun tetapi menimbulkan banyak masalah kepada pelangan, syarikat pencetak, pengedar dan DBP yang terpaksa menanggung hutang kepada pengusaha terlibat.

Dawama juga dikatakan menjadi punca banyak pihak tidak berpuas hati dengan DBP termasuk pelanggan buku yang tidak mendapat produk berkualiti. Perkhidmatan mereka sering tertunda, malah, ramai syarikat pencetak, pengedar dan pengangkutan terpaksa gulung tikar.

Pekerja industri buku juga tidak kurang yang hilang mata pencarian akibat ketidakstabilan DBP yang berpunca dari Dawama.

Ini mendorong jemaah menteri pada 28 Mei 2014 tidak menyambung konsesi yang tamat pada 31 Ogos 2014. Kini, tugas reka semua aktiviti reka bentuk, atur huruf, pencetakan, pengedaran dan pemasaran bahan terbitan DBP diuruskan identiti berasingan iaitu Koperasi DBP.

Itu sejarah sisi gelap DBP selama 12 tahun yang mengakibatkan kemeruduman buku DBP.

Namun, DBP banyak menerbitkan buku berkualiti untuk orang awam sama ada berbentuk penyelidikan, rujukan akademik atau pembacaan peribadi yang jarang-jarang diterbitkan penerbit alternatif ataupun indie.

 

Buku imiliah

Ada mengatakan buku DBP tidak menarik dan sekadar melepas batuk di tangga.

Namun, adakah penting untuk menerbitkan buku menarik tetapi tidak berkualiti atau tidak menarik tetapi berkualiti? Atau sebenarnya kedua-dua elemen itu penting diadun bersama?

Memang setiap buku terbitan DBP nampak seperti tajuk tesis dan tidak mungkin dapat menarik minat orang awam. Namun DBP berpaksi tujuan asalnya – membumikan ilmu dan menjadi institusi terpenting untuk jauhari yang mencari manikam.

buku81377756372_295x200Dan jika kita bandingkan dengan buku terbitan Oxford University Press dan Cambridge University Press, tajuk mereka lebih kurang sama dengan DBP.

Antara contoh buku berkualiti ialah Ketenteraan Dan Peperangan: Senjata, Taktikal Dan Teknologi, Jurnal Bahasa, Bahan Radioaktif Tabii dan Manusia, Senjata Nuklear: Rahsia dan Bahana, Abim dan Pas Dalam Gerakan Dakwah Islam Di Malaysia, Teknologi Reaktor Termaju Berasaskan Seramik, Esei dan Puisi Baha Zain dan pelbagai lagi.

Ia sebenarnya murah daripada isinya yang berharga.

Penerbit alternatif dan indie masih tidak lagi menerbitkan buku ‘berat’ sebegitu.

Memang tidak boleh dinafikan, sumbangan penerbit indie sebagai pemangkin minat membaca dalam kalangan anak muda terutama lelaki. Jika tidak, buku selain rujukan pelajaran tidak disentuh, malah monopoli pembacaan dikuasai wanita yang lebih menggemari novel cinta picisan.

Malah, sumbangan sebenar penerbit alternatif dan indie ialah menerbitkan banyak karya anak muda yang pertama kali menulis buku.

Buku dan alternatif bagus untuk permulaan manakala buku DBP untuk pembaca yang lebih dahagakan kupasan isi lebih mendalam dan pengkajian serius.

 

Ayat ‘kasar’

Walaupun DBP banyak dikritik tetapi disebabkan penerbit indie mempunyai ramai pengikut anak muda yang popular di media sosial, orang awam mula memberi perhatian terhadap masalah DBP.

Lebih-lebih lagi, mereka menggunakan ayat ‘kasar’ sekali gus menarik ramai untuk memberi perhatian.

Kritikan ‘kasar’ mereka sebenarnya membawa sisi positif. Kerana ramai yang tidak cakna kemelut DBP mula membuka mata dan mengetahui punca malapetaka DBP di ambang kegelapan.

Seharusnya, DBP mengambil kritikan itu sebagai pemangkin untuk mentransformasi pengurusan mereka supaya lebih efektif dan mesra pembaca. Kritikan penerbit indie iaitu ‘buku yang gagal adalah buku yang tidak dibaca’ perlu dipandang serius.

Seperti tulisan Prof Asit K Biswas dan Junian Kirchherr dalam aritkel bertajuk Prof, No One Is Reading You, ramai sarjana mahu bukunya memberi sumbangan kepada disiplin ilmu dan mempengaruhi pembuat keputusan.

Namun, lambakan buku atau jurnal ilmiah di pasaran tidak akan menjanjikan apa-apa jika tidak dibaca dan dipraktik. Malah, penggunaan media popular diabaikan oleh DBP hinggakan masyarakat tidak sedar buku berkualiti sebenarnya wujud.

Cabaran kepada Koperasi DBP sekarang ialah membangunkan model rekatif inovatif supaya tulisan berkualiti sarjana sampai kepada orang awam. Contoh, ilmuan klasik menulis jurnal bacaan golongan akademik tetapi diterbitkan untuk orang awam.

Kerana itu, buku seperti On the Origin of Species, The Incoherence of the Incoherence dan berbagai-bagai lagi buku ilmiah dibaca oleh orang awam. Kerana laras bahasa dan penerangannya untuk orang awam.

Buku sarjana memberi impak kepada masyarakat dunia dan mengubah lanskap pemikiran mereka dan generasi seterusnya.

Penerbit indie juga menerbitkan beberapa buku berunsur ilmiah seperti Sekolah bukan penjara, Universiti bukan Kilang, Utopia, masyarakat Lambak dan beberapa lagi tetapi ditulis untuk orang awam terutama anak muda.

Apapun, kritikan ‘kasar’ itu patut diraikan manakala DBP yang sudah bebas dari Dawama harus bangkit dan lebih tersusun supaya buku ilmiah terbitan mereka sampai ke tangan masyarakat.
* Penulis ialah Alumni Sekolah Demokrasi