Berita

1MDB dapat layanan istimewa, cukai pendapatan dikecualikan

KUALA LUMPUR 21 OKT: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini mempersoal keistimewaan yang diberi kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga layak memperoleh pengecualian cukai.

Katanya, status pengecualian cukai hanya diberi kepada industri perintis atau strategik yang melabur di Malaysia dan membantu menjana peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta membantu usaha strategik ekonomi negara.

Sebaliknya, beliau berkata, 1MDB tidak memberi sebarang manfaat kepada negara sekalipun tiada pertikaian terhadap keupayaannya menarik pelaburan yang sebenarnya meragukan banyak pihak.

tony puaBeliau berkata demikian pada kenyataan media hari ini dengan merujuk jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada soalan Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen berkaitan skandal 1MDB pada sidang Parlimen, semalam.

Mengikut Najib, 1MDB dan anak syarikat milikan penuhnya mendapat pengecualian cukai pendapatan termasuk dividen bagi tempoh 10 tahun berdasarkan Seksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menyifatkannya sebagai tidak wajar, Pua menggesa Menteri Kewangan supaya menarik balik status pengecualian itu, apatah lagi 1MDB sebenarnya gagal mencapai sebarang matlamat untuk menarik pelaburan langsung asing.

“Jika 1MDB sebagai layak sektor hartanah mendapat pengecualian itu, adakah ia bermakna semua pemaju hartanah juga mendapat keistimewaan itu?” katanya pada kenyataan media, hari ini.