Berita

Perubatan alternatif perlu dikawal selia, elak amalan palsu

KUALA LUMPUR 21 OKT: Pengamal perubatan alternatif perlu disenarai dalam profesion kesihatan bersekutu bagi mengawal selia kewujudan klinik perubatan alternatif dengan baik, sekaligus mengiktiraf sumbangan mereka selain mengelakkan pengamal palsu.

Pada masa ini, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, berkata banyak klinik perubatan alternatif atau tradisional tumbuh bagai cendawan tetapi tidak diketahui sama ada pengamalnya benar-benar layak dalam perubatannya.

Katanya, Kementerian Kesihatan perlu ada mekanisme tertentu sebagai panduan dalam mengawal kewujudan dan operasi klinik kesihatan sedemikian bagi mengelakkan amalan tidak betul atau palsu.

“Amalan tidak betul atau palsu bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, malah boleh memudaratkan kesihatan pesakit,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

V SivakumarBeliau juga menyuarakan pandangan itu pada sidang Dewan Rakyat sewaktu mencelah perbahasan Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen.

Sivakumar berkata, banyak bidang perubatan tidak dikawal selia dan beliau memastikan cabang perubatan itu diuruskan melalui satu badan atau majlis ikthisas untuk kebaikan rakyat.

Mengakui sumbangan mereka besar dan tidak boleh dipertikai, beliau berkata, profesion dalam kesihatan bersekutu ada kesan langsung atau tidak langsung kepada penjagaan pesakit atau kesihatan individu.

“Banyak cabang atau bidang perubatan yang tidak disenarai dalam rang undang-undang profesion kesihatan bersekutu. Sebagai contoh, perubatan tradisional ataupun alternatif yang memberi sumbangan dalam dunia perubatan,” katanya.

Antara 23 profesion disenarai sebagai Profesion Kesihatan Bersekutu iaitu Ahli Audiologi, Ahli Dietetik, Ahli Entomologi, Ahli Fisioterapi, Ahli Fizik Perubatan, Ahli Pemakanan, Ahli Psikologi Klinikal, Ahli Sains Klinikal Biokimia, Ahli Sains Klinikal Bioperubatan dan Ahli Sains Klinikal Embriolog.

Selain itu, Ahli Sains Klinikal Genetik Perubatan, Ahli Sains klinikal Mikrobiologi, Ahli Terapi Cara Kerja, Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Ahli Terapi Radiasi, Jururadiografi Diagnostik, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pegawai Pendidikan Kesihatan, Pegawai Penyediaan Makanan, Pegawai Sains Forensik dan Pegawai Sosial Perubatan.