Berita

Sebahagian besar rumah diroboh, orang Asli ‘merempat’ di pusat transit

KLUANG 21 OKT: Sebahagian besar rumah penduduk Kampung Abdul Rahman Yassin, Kluang, Johor yang didiami orang Asli sejak 45 tahun lalu, diroboh mengakibatkan mereka terpaksa ‘merempat’ ke pusat transit sementara untuk tempoh yang tidak diketahui.

Kerja perobohan dilakukan Pejabat Tanah Daerah dan Majlis Perbandaran Kluang mulai jam 9 pagi tadi dan mereka ditempatkan di Balai Raya Batu 8 Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) dan beberapa lokasi lain.

WIRA1914Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, pihak berkuasa patut menyediakan penempatan baru sebelum menempatkan mereka di pusat transit tanpa mengetahui tempohnya.

Katanya, pihak berkuasa sepatutnya memberi jaminan bertulis seperti surat rasmi Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara, selain mengelak pertelagahan.

WIRA2124“Beberapa kes pemindahan kebelakangan ini menggambarkan ketidakyakinan penduduk terhadap kerajaan. Kerajaan juga harus memberi jaminan jangka panjang dengan mewartakan penempatan orang Asli sebagai tanah simpanan kekal,” katanya.

Sebahagian penduduk enggan berpindah berikutan tidak menerima jaminan bertulis rasmi mana-mana pihak sebelum perbincangan dibuat ketika kerja perobohan sedang dijalankan.

Persetujuan dicapai melalui janji pemberian pampasan RM2,500 tunai, rumah gantian mengikut jumlah keluarga dan memasukkan nama mereka dalam senarai projek ladang untuk memperoleh pendapatan.

Pada perbincangan itu, semua permintaan akan dimaktubkan dalam satu perjanjian rasmi akan diberi kepada penduduk Jumaat ini.

WIRA1923Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kluang, Sheikh Omar Ali pula, berkata tuntutan surat berkenaan membuktikan jaminan bertulis perlu bagi mengelakkan orang Asli berdepan ketidakpastian.

“Surat rasmi mengandungi tuntutan pampasan, rumah gantian dan tanah sebagai sumber sara hidup itu membuktikan kerisauan orang Asli itu berasas,” katanya.

Mengikut Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) kampung yang diterokai Ajon Bakar sejak 45 tahun lalu didiami 23 keluarga orang Asli yang berhijrah dari Rompin, Negeri Sembilan dan Kluang.