Berita

Bajet 2016: Peruntukan rakyat dipotong, peruntukan ‘Najib’ ditambah

KUALA LUMPUR Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Che Keong mengecam pemotongan peruntukan sektor penting kehidupan rakyat dalam Bajet 2016 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Katanya, ia menjejaskan kehidupan rakyat kelas pertengahan dan rendah berikutan negara dilanda kelembapan ekonomi, lambakan hutang dan kadar pengangguran tinggi yang memberi kesan kepada pekerjaan, pasaran dan kebajikan semasa.

Beliau berkata, pemotongan yang bakal membebankan rakyat itu pula dibuat ketika Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula menerima tambahan besar peruntukan berjumlah RM1.1 bilion dari bajet berkenaan.

“Dalam kata lain, kerajaan membolot bahagian yang besar hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Juga bermakna tambahan berbilion ringgit untuk digunakan mengikut budi bicara Perdana Menteri.

“Ini menunjukkan sikap tidak peduli Najib terhadap kesusahan rakyat. Beliau memberikan dirinya bahagian yang lebih besar ketika peruntukan untuk kehidupan harian rakyat dipotong. Ini secara terang-terangan kejam,” katanya.

steven simPada kenyataan media hari ini, Steven berkata, sektor yang terlibat dalam pemotongan antaranya pendidikan, pembangunan anak muda, sukan, kesihatan, pengangkutan awam dan kebajikan.

Memberi contoh, katanya, Kementerian Pendidikan berdepan pemotongan peruntukan RM2.4 bilion manakala dana untuk semua universiti awam dikurangkan secara drastik dikurangkan sebanyak RM1.4 bilion.

Beliau berkata, pemotongan lain termasuk sektor pembangunan anak muda dan melalui Kementerian Sukan dan Belia dipotong 28 peratus manakala peruntukan berkaitan kepentingan buruh dan pencarian kerja, dikurangkan 24 peratus.

Steven turut mendedahkan pemotongan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Saya menyeru semua Ahli Parlimen menjalankan amanah dengan mengundi untuk menolak Bajet 2016 bagi menunjukkan ketidakyakinan rakyat terhadap pentadbiran Najib,” katanya.