Berita

Gantung Kit Siang cipta imej Malaysia ditadbir ‘badut’

KUALA LUMPUR 24 OKT: Penggantungan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dipercayai bertujuan menakut-nakutkan Ahli Parlimen lain termasuk dari Umno Barisan Nasional (BN) supaya tidak membangkitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar yakin tindakan zalim itu hanya menguatkan lagi semangat Ahli Parlimen pembangkang supaya melawan skandal itu habis-habisan.

“Ini (penggantungan) tidak adil. Kit Siang sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Beliau harus diberi peluang dan masa secukupnya untuk membela diri. Nyatalah, Ahli Parlimen Gelang Patah itu mangsa terbaru 1MBD,” katanya.

Pada kenyataan media hari ini, beliau berkata pengantungan Kit Siang membuka lembaran baru dinamika politik tanah air, menjadi titik hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia, apatah lagi disaksikan dunia antarabangsa.

V Sivakumar“Seluruh dunia memerhatikan gelagat negara kita. Malaysia menjadi bahan ketawa negara luar kerana kita seolah-olah ditadbir sekumpulan badut. Negara lain turut memberi komen negatif berhubung skandal itu.

“Kita malu kerana ia menjatuhkan imej Malaysia di mata media antarabangsa. Lebih menyedihkan, institusi berdaulat seperti Parlimen turut dicemari untuk membela orang yang terlibat dalam skandal 1MDB.,” katanya.

Sivakumar kesal kerana seluruh jentera kerajaan memberi perlindungan kepada seorang Perdana Menteri yang tidak berani membela diri dalam skandal 1MDB yang menjadi buah mulut seluruh rakyat.

Sekalipun Majlis Raja-raja Melayu membuat teguran, katanya, kerajaan BN dan Najib tidak peduli dan terus memerintah tanpa segan silu.

“Pemimpin BN pula berkulit tebal kerana tidak dapat berasa kehangatan skandal 1MDB walaupun ia menjadi tajuk perbualan di warung atau kedai kopi, sebaliknya wakil rakyat BN berpura-pura pekak dan tidak berani membela nasib rakyat.