Berita

Potong peruntukan pendidikan, yuran pengajian bakal naik?

KUALA LUMPUR 25 OKT: Pemotongan peruntukan untuk sektor pengajian tinggi sebanyak RM2.4 billon atau 15 peratus dalam Bajet 2016 berbanding tahun lalu dikhuatiri mendorong kepada kenaikan yuran pengajian dan pelbagai masalah lain.

Pascasiswazah Ijazah Sarjana Kajian Politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Abdul Aziz Isa, berkata mahasiswa dan institusi pengajian tinggi (IPT) tiada pilihan selain terpaksa ‘menelan’ hakikat bajet itu.

“Sedangkan, yang dinanti-nanti mahasiswa ialah pertambahan peruntukan dan pemberian pendidikan percuma tetapi yang terjadi sebaliknya,” kata beliau pada kenyataan media, hari ini.

Mengakui pemberian pendidikan percuma tindakan drastik, beliau berkata tidak salah jika bajet kali ini memberi lebih peruntukan untuk sektor pendidikan bagi meringankan beban mahasiswa.

aziz isaKatanya, sektor pendidikan memerlukan lebih peruntukan dalam bajet 2016 bagi membina kolej kediaman tambahan, memperbaiki jaringan internet di universiti dan memperbaiki sistem pengangkutan bagi meringankan beban pelajar.

“Mudah suruh berjimat cermat dan berdikari tetapi dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kenaikan harga barangan melampau dengan GST, ini mustahil. Malah, menambahkan beban mahasiswa dan keluarga mereka,” katanya.

Kata Abdul Aziz, penempatan kolej universiti antara masalah besar berikutan pengambilan baru bertambah tiap tahun, menyebabkan kolej sesak dan mengakibatkan mahasiswa tahun akhir terpaksa menyewa di luar pada kadar sewa mahal.

Katanya masalah pengangkutan di universiti pula bagai melepaskan batuk di tangga manakala internet sukar diakses berikutan kelajuan perkhidmatannya terhad, menyebabkan mahasiswa terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan akses lebih baik.

“Perkara itu mengganggu konsentrasi mahasiswa dalam menuntut ilmu,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Petra Jaya.

Sekalipun ‘berterima kasih’ kerana Bajet 2016 meneruskan pemberian baucar buku 1Malaysia, beliau menyifatkan peruntukan itu hanya potongan kecil daripada kek yang besar.