Rencana

Antara persepsi salah dan dilema Melayu dalam DAP

ADA banyak persepsi tentang DAP yang salah.

Ada yang simplistik, ada yang samar-samar dan ada yang mentah. Ini datangnya dari pelbagai sudut dan sumber. Dari persepsi itu, kebanyakannya datang dari sumber bukan DAP – contohnya, UMNO, Utusan atau TV3.

Selain sumber merapu itu, ada juga bersumberkan bekas ahli DAP yang telah keluar parti.

Antara persepsi yang paling simplistik ialah tentang ahli Melayu dalam DAP.

Ramai berpendapat, untuk DAP memulihkan imejnya di mata rakyat Malaysia sebagai parti berbilang kaum, mereka memerlukan ramai ahli Melayu – baik sebagai ahli atau pemimpin, baik pada peringkat cawangan, negeri atau pusat, menyimpan persepsi bahawa Melayu yang menyertai DAP harus diberi kedudukan sewajarnya (dalam kata lain bagi – keistimewaan) dalam parti.

Antara hujah dan logik 

Memang ada logiknya hujah itu. Apatah lagi, ia turut disokong orang Cina baik ahli parti mahupun Cina bukan DAP. Saya faham mengapa mereka menyokong hujah ini.

Ini ditambah lagi dengan pemimpin DAP (Cina) mahu meletakkan ahli DAP Melayu dalam agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai Ahli Majlis, contohnya.

pix aziz bariDalam konteks pilihan raya pula, pemimpin Cina DAP didesak untuk mencari dan memberi kerusi selamat demi memastikan calon Melayu DAP berpeluang besar untuk menang.

Dalam konteks hierarki parti, seboleh-bolehnya Melayu dicalonkan bertanding dalam jawatankuasa negeri atau pusat. Usahakan agar ada sokongan undi untuk pastikan ada muka Melayu yang menang untuk diletak dalam barisan kepimpinan negeri atau pusat.

Jika tidak cukup, lantiklah satu-dua muka Melayu lagi sebagai penghias gambar.

Semua pandangan itu selari dengan projek membentuk persepsi baru. Ya, saya ulang lagi, lapisan ini nampak macam betul logiknya.

Logik itu diperkuat lagi dengan alasan inilah jalan terbaik untuk tujuan yang baik, maka ia harus dilakukan. Saya tidak menolak mentah-mentah hujah itu tetapi tidak pula mudah menerimanya bulat-bulat.

Persoalannya, adakah benar kaedah terbaik untuk tujuan baik ini akan memberi kesan baik untuk jangka panjang, sama ada kepada DAP mahupun Melayu itu sendiri?

Tujuan yang terkabur

Jika diteliti kesan logik itu, akhirnya tujuan asal untuk meletak seseorang itu sebagai ahli majlis atau calon (pemimpin) berdasarkan kelayakan dan kualiti, akan terlupa betapa tujuan telah mengaburi rasional.

Sebaliknya, kerana tujuan itu juga, lama-kelamaan ia bertukar menjadi polisi, tak kira Melayu itu layak atau tidak, asalkan Melayu maka ‘layak’ untuk posisi itu.

nora reformasiDalam erti kata lain, tanpa sedar kita sedang memindahkan sikap daripada faham kuota perkauman ke dalam DAP – amalan UMNO, baik dalam ekonomi mahupun dasar sosialnya.

Jadi, matlamat untuk melaksana dan menghormati prinsip itu akan gagal. Jika ia berlaku, sekali lagi, DAP dan orang Melayu akan sama-sama kecewa dan ditertawakan elit UMNO. Kali ini mungkin lebih teruk lagi.

Tentu ada orang UMNO membaca catatan ini, orang DAP juga. Dan dengan pelbagai persepsi terhadap tulisan ini mungkin ada berpendapat saya kritikal tak bertempat atau tak memahami real politik mahupun strategi politik.

Seperti rasional saya dalam isu Bersih4, ramai mendakwa kaum Cina mendominasinya. Maka saya katakan, mengapa kita tidak melihat pola generasi yang menyertai rapat umum itu, daripada membaca dari sudut kaum atau perkauman?

Begitu juga dalam konteks Melayu dalam DAP.

Persepsi generasi muda

Saya bersetuju jika ia dalam bentuk atau pendekatan berbeza iaitu berdasarkan konteks generasi. Generasi ini akan berubah mengikut zaman atau era. Maka, peluang itu sentiasa terbuka.

Center For Strategic And International Studies (CSIS) berpangkalan di Washington DC mengenal pasti hampir separuh populasi dunia adalah generasi muda bawah umur 30 tahun.

dyana dan raraMereka mahukan akses latihan dan modal untuk berdikari sama ada dalam bidang perniagaan mahupun pendidikan. Mereka mahu ruang untuk menyumbang kepada ekonomi dan sosial.

Bagus DAP sebagai parti progresif jika ia membuka dan memberi ruang seluas-luasnya berdasarkan konteks generasi, tak kira Melayu atau kaum lain. Inilah peluang generasi Melayu yang baru untuk bersaing secara sihat dengan rakan mereka dalam DAP.

Dalam UMNO, mana ada ruang untuk Melayu bersaing. Dalam UMNO, yang bersaing ialah proksi.

Generasi baru sukakan persiangan terbuka. Potensi orang baru atau generasi baru tidak kira Melayu atau Cina atau apa jua kaum hanya dapat diketahui kebolehannya apabila ruang dan peluang dibuka secara adil.

Yakni membiarkan generasi baru mencuba dan melontar pandangannya kepada parti atau masyarakat sebagai wakil suara baru dalam DAP.

Konflik dilema

Saya amat dilema apabila ditanya seorang rakan, kebetulan Cina: “Mahdzir, ada tak lagi ahli-ahli Melayu yang boleh dilantik atau diketengah dalam parti?”

Kita boleh analisis soalan itu. Kita boleh jangka soalan itu datangnya dari mana, apa yang membuatkan mereka berfikir demikian. Pastinya daripada persepsi orang yang mengutuk DAP itu Cina, makan babi, komunis, kafir dan sebagainya.

Saya boleh saja menjawab dengan mudah: “ Ya, ada” atau “ No, no one”.

pak samad dan sheikh omarTetapi terus-terang, lidah saya kelu untuk menjawabnya dengan jujur dan ikhlas. Bukan kerana tidak ramai Melayu, bukan kerana tidak ada Melayu yang layak atau bukan kerana tidak mahu Melayu lain dalam DAP bersaing bersama.

Sebaliknya, kelu kerana berasa bingung dengan soalan itu.

Salah satu sebab saya masuk DAP kerana saya lelah dengan sikap perkauman tetapi kini seakan-akan berdepan dengan senario hampir sama.

Sebagai orang politik, saya faham maksud soalan itu, tujuan dan niatnya. Memang baik dan murni, malah mungkin itulah sejujurnya dari pertanyaan itu. Tetapi ia tidak boleh dijadikan kaedah pintas untuk me-Malaysia-kan DAP sebegitu mudah dan cepat.

UMNO memomokkan DAP puluhan tahun, dengan pelbagai helah dari pelbagai bahan dan medium. Maka logiknya, kita harus bersedia dan bersabar untuk tempoh yang bukan pendek untuk mencuci kembali kotoran itu.

Mungkin lima tahun, mungkin 10 tahun. Tak kisah berapa lama asalkan kita teruskan.

Untuk itu, orang DAP sendiri harus sedar bahawa bukan sahaja UMNO yang menjadikan DAP seperti hari ini. Orang DAP juga ada menyumbang kepada keadaan DAP hari ini. Bukan menyalahkan generasi lama DAP tetapi kita perlu sedar kelemahan kita sebelum bulat-bulat menyalahkan musuh politik.

Jika puluhan tahun UMNO memomokkan DAP dengan pelbagai wajah negatif, mengapa sekarang baru DAP sedar dan mahu me-Malaysia-kan partinya?

Tulisan ini juga tidak terlepas dari pelbagai persepsi. Saya tiada masalah untuk berkata dari hati saya. Saya ingin beretorik – DAP untuk semua generasi.

 
* Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor