Berita

Asalkan peruntukan JPM melonjak, Najib ‘suka hati’

KUALA LUMPUR 27 OKT: Kebanyakan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjumlah RM14.3 bilion tidak jelas dan semata-mata mengikut budi bicara atau ‘suka hati’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkata peruntukan itu seperti Dana Fasilitasi bernilai RM3 bilion, Projek Mesra Rakyat (RM1.3 bilion) dan Projek Khas (RM309 juta), meragukan.

“Tidak patut sama sekali untuk Perdana Menteri memegang kuasa begitu besar dalam memutuskan segala penggunaan dana yang nilainya berbilion-bilion ringgit melalui JPM tanpa perlu mendapat kelulusan menteri ataupun Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan bernilai RM8.55 bilion itu adalah 59 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan JPM yang keseluruhannya bernilai RM14 bilion ataupun setinggi 42 peratus daripada jumlah peruntukan JPM RM 20.3 bilion atau 3 peratus daripada jumlah Bajet 2016.

“Peruntukan RM8.55 bilion itu memberi peluang kepada Najib untuk ‘bermain’ politik dengan ‘penganugerahan’ projek ataupun dana kepada mereka yang ada talian politik di peringkat atasan tanpa menjana ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

liew chin tongBajet 2016 menyaksikan peningkatan drastik peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berbanding dekad lalu berikutan angkanya mencecah tujuh peratus, buat pertama kali.

Peruntukan JPM itu jauh berbeza dengan peruntukan sedekad lalu berikutan JPM hanya mewakili 2.67 peratus pada 2006, 3.81 (2007) dan 3.4 peratus (2008).

Bagaimanapun, peruntukan itu melonjak sejak Najib menjadi Perdana Menteri iaitu 6.71 peratus (2009), 6.37 peratus (2010) dan 6.74 peratus (2011), 5.38 peratus (2012), 5.24 peratus (2013), 6.23 peratus (2014) dan 6.96 peratus (2015).

Pada kenyataan media hari ini, Chin Tong kesal kerana pemotongan besar-besaran dibuat ke atas bidang pendidikan, kebajikan dan perbelanjaan sosial sedangkan JPM menerima RM20.3 bilion melalui Bajet 2016 berbanding RM19 bilion pada 2015.

“Jumlah itu mengambil sebahagian jumlah yang besar daripada kewangan negara. Menjelang 2016, perbelanjaan JPM bakal mencecah 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet.

“Amalan yang bermula pada 2009 harus berhenti segera,” katanya.