Berita

Kurang 11 peratus peruntukan, BN mahu Sabah, Sarawak kekal mundur

KUALA LUMPUR 27 OKT: Hanya 10.9 peratus dari keseluruhan nilai Bajet 2016 untuk Sabah dan Sarawak, jauh dari mencukupi, sekaligus menunjukkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sengaja mengabai pembangunan di kedua-dua negeri itu.

Apatah lagi, Parlimen Sandakan, Stephen Wong, berkata peratusan yang bersamaan dengan RM29.2 bilion itu apabila dibahagi dua, bermakna hanya lima hingga 6 peratus sahaja diterima salah sebuah negeri itu.

“Ini tidak mencukupi bagi Sabah dan Sarawak yang masih mundur. Ia menunjukkan kerajaan tidak berazam untuk mempercepat proses pembangunan, malah mengabaikan kedua- dua negeri itu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

stephan wongMalah, katanya Sabah memerlukan RM2 bilion untuk memperbaiki dan membina jalan raya sebaliknya bajet kali ini mengurangkan peruntukan kepada JKR Sabah kepada RM425 juta berbanding RM432 juta tahun lalu.

“Peruntukan bagi projek pembinaan jalan raya dikurangkan dari RM70juta kepada RM20 juta,” katanya yang percaya peruntukan JKR Sarawak ditambah RM100 juta kepada RM281 juta berbanding RM194 juta tahun lalu berikutan pilihan raya negeri tahun depan.

Stephan juga sangsi keikhlasan BN dalam menjadikan Pelabuhan Sepanggar sebagai Transshipment Hub walaupun projek itu diharap-harapkan pengusaha tempatan tetapi ia tidak dimasukkan dalam bajet.

“Dasar perdagangan bebas membantu membangunkan ekonomi Sabah, ini penting. Dengan adanya pelabuhan yang baik, ia menarik lebih banyak transhipmen sekaligus menambahkan peluang pekerjaan dan memantapkan ekonomi tempatan,” katanya.