Rencana

Jerebu: Surat Lim Guan Eng kepada Duta Besar Indonesia, Herman Prayitno

 

KAMI  amat khuatir terhadap masalah pencemaran jerebu yang menjejaskan kesejahteraan hidup jutaan rakyat di Malaysia dan Indonesia.

Ingin kami sampaikan rasa simpati dan solidariti kepada rakyat Indonesia yang mengalami penderitaan lebih teruk akibat berada dekat dengan punca kebakaran.

Di Malaysia, apabila tahap kualiti udara semakin buruk, barangkali sekolah ditutup dan ia menimpa setengah juta murid dan pelajar.

Kesan negatif ke atas ekonomi negara disebabkan program terbatal, ketibaan pelancong menjunam dan penurunan produktiviti tenaga kerja; walaupun sukar dinilai pada waktu sekarang – ia besar dan tidak boleh diperbaiki.

Jerebu adalah kejadian sampingan insiden kebakaran hutan yang telah dan masih berlaku di wilayah Indonesia khususnya di Sumatera dan Kalimatan.

Selain kehidupan rakyat Malaysia yang terjejas, kami turut sedar ia juga menyebabkan kesusahan dan keperitan jutaan rakyat Indonesia.

Kami tahu usaha kerajaan Indonesia menangani masalah kebakaran hutan dan pencemaran jerebu telah bertambah giat. Misalnya, Presiden Joko Widodo meratifikasi Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan ASEAN (ASEAN Transboundary Haze Agreement) pada 16 September, 2014.

Namun, malangnya pencemaran jerebu masih memberi ancaman serius dan berulang kepada kami.

Sebagai Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), parti politik kedua terbesar di Parlimen Malaysia, kami terpanggil untuk membawa beberapa syor kepada kerajaan Indonesia demi mengatasi pencemaran jerebu:

– Mempertimbang degan serius tawaran serta bantuan teknikal yang ingin diberi kerajaan Malaysia dan Singapura atas semangat kerjasama ASEAN untuk menghantar alat kelengkapan dan ahli bomba profesional untuk mengawal dan memadamkan kebakaran hutan di Indonesia;

– Mempercepat proses pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Malaysia melalui mekanisme kerjasama terperinci untuk mengatasi pencemaran jerebu. Kami dimaklumi Menteri Alam Sekitar Malaysia, YB Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang Parlimen 21 Oktober lalu bahawa rancangan pemeteraian MoU dua kali ditangguh dari tarikh sasaran asal, September 2015. Kami menyeru pemeteraian itu diberi keutamaan;

– Menyedari ada individu dan/atau syarikat Malaysia terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia termasuk sekurang-kurangnya satu kes yang sabit kesalahan oleh mahkamah Indonesia, kami menyeru kerajaan Indonesia berkomunikasi lebih efektif kepada kerajaan Malaysia dan mendedahkan maklumat terperinci syarikat Malaysia yang dituduh dan/atau yang disabit kesalahan dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia. Ini penting supaya tindakan lanjut boleh diambil terhadap syarikat atau individu berkenaan di Malaysia;

– Berharap kerajaan Indonesia menunjukkan komitmen terhadap usahasama antara kerajaan di peringkat ASEAN sewaktu Mesyuarat Peringkat Menteri Alam Sekitar ASEAN dan Persidangan Parti-Parti Perjanjian Jerebu pada akhir Oktober 2015 di Hanoi, Vietnam;

– Mengesyor kerajaan Indonesia mengambil bahagian secara aktif dalam kegiatan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit yang bakal ditubuh dalam masa terdekat ini demi memastikan amalan penanaman sawit yang lestari dapat diperluas, seterusnya kebakaran terbuka dikurangkan ke tahap minimum.

Ingin kami cadangkan supaya sebarang bentuk kerjasama dan usaha menangani pencemaran jerebu berjalan sepanjang tahun, bukan hanya secara ad-hoc sewaktu ada pencemaran jerebu.

Hanya dengan pemantauan dan penguatkuasaan rapi sepanjang tahun, barulah usaha pembasmian pencemaran jerebu berjaya. Maka itu, saya mengalu-alukan maklum balas serta jawapan positif dari pihak kedutaan.

Sekian, terima kasih.

LIM GUAN ENG