Berita

Tawar diri jadi hos TV, beranikah 1MDB jawab soalan Tony Pua?

KUALA LUMPUR 29 JUN: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menawar diri untuk menjadi hos temu bual rancangan televisyen untuk  bertanya soalan kepada Presiden 1Malaysia Develompment Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy berhubung skandal syarikat itu.

Beliau membuat tawaran itu pada kenyataan media hari ini berikutan Arul Kanda membuat kenyataan pada segmen temu bual Bernama TV secara siaran langsung itu semalam betapa tidak apa-apa yang disembunyikan dalam skandal 1MDB.

“Saya jadi hos dan bertanya soalan manakala Arul Kanda akan diberi peluang dan masa secukupnya untuk menjawab soalan berkaitan skandal 1MDB.

“Saya tidak berdendam jika Arul Kanda dapat menyangkal dakwaan saya dengan menunjukkan bukti dari mana-mana dokumen kewangan 1MDB. Persoalannya, adakah Arul Kanda berani menerima cabaran itu?

“Atau Arul Kanda lebih selesa berlindung di sebalik media arus perdana yang berat sebelah,” katanya.

Sepanjang rancangan temu bual itu, Pua berkata, Arul Kanda kerap mengitar semula jawapan yang bersifat perhubungan awam dan jauh dari kebenaran fakta bagi merungkai skandal 1MDB.