Berita

Hasil GST RM39 bilion, peruntukan pendidikan dipotong RM1 bilion

KUALA LUMPUR 31 OKT: Ketika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membawa hasil RM39 bilion kepada Kerajaan Persekutuan, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memotong peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM1 bilion.

Menyifatkan Bajet 2016 sebagai ‘loser’, Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong kesal kerana hasil GST tidak digunakan kepada sektor yang diperlukan rakyat, bahkan mengorbankan kepentingan umum.

“Rakyat bersusah payah membayar GST tetapi kerajaan pula mengurangkan peruntukan untuk sektor pendidikan yang paling diperlukan rakyat. Ini tidak masuk akal sama sekali,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

stephan wongBeliau turut menempelak Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon yang mengakui peruntukan RM50 juta dalam bajet tahun lalu belum diagih kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) RM25 juta.

“Ini tidak munasabah. Bajet yang dijanji akhirnya menjadi janji kosong,” kata Timbalan Pengerusi DAP Sabah itu.

Pada 2013, Stephan berkata, SJKC menerima peruntukan RM100 juta tetapi jumlah itu berkurangan pada 2014 dan 2015 kepada RM50 juta manakala peruntukan SMJK tidak berganjak dari angka RM25 juta.

Beliau tertanya-tanya peruntukan untuk SJKC yang menerima RM450 juta tahun lalu, mendapat tambahan berikutan Kerajaan Persekutuan menyatakan RM500 juta diberi kepada sekolah pelbagai aliran.

mahasiswa universitiSelain itu, Stephan mengkritik pengurangan peruntukan universiti awam sebagai tidak rasional dan menimbulkan kebimbangan ia mungkin menjejaskan kualiti institusi pengajian berkenaan.

Katanya, peruntukan Universiti Malaya yang kedudukannya kian merosot pada peringkat antarabangsa dikurangkan 27.3 peratus, daripada RM638 juta kepada RM463 juta dikhuatiri mengakibatkan masalah dana penyelidikan dan kemudahan lain.

“Sektor pendidikan harus dititik berat. Kerajaan perlu menambahkan universiti awam supaya pelajar tidak berkemampuan dapat menikmati pendidikan tinggi dengan percuma, bukannya mengurangkan peruntukan universiti,” katanya.

Malah, Stephan kesal kerana, sektor lain seperti kebajikan dan pengangkutan awam turut mengalami pengurangan peruntukan sebaliknya Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menerima arahan langsung daripada Perdana Menteri, menerima tambahan daripada RM19 bilion kepada lebih RM20 bilion.

“PM mengumpulkan sumber dan kuasa melalui Bajet 2016. Ini semestinya bukan kaedah pembahagian sumber yang sihat,” katanya.