Berita

1MDB: ‘Saya akan tanya soalan yang mati-mati rakyat mahu tahu’

KUALA LUMPUR 1 NOV: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berharap ‘pemenang sebenar’ siaran langsung forum antara beliau dan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, ialah rakyat Malaysia.

Berterima kasih kepada Arul Kanda yang menarik balik syarat mengarut, beliau berkata rakyat Malaysia selama ini kecewa, bingung dan mungkin keliru dengan skandal yang berkaitan 1MDB.

“Dalam pertemuan itu, saya akan bertanya soalan-soalan yang rakyat mati-mati mahu tahu atau tanyakan sejak suatu tempoh masa yang sangat lama,” katanya sambil berharap wakil mereka membincangkan tarikh, masa dan format temu bual berkenaan.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Arul Kanda hari ini yang menarik balik syarat supaya Pua meletak jawatan dari menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atas alasan kononnya wujud konflik kepentingan.

Sebelum ini, Pua menawar diri sebagai hos rancangan televisyen berikutan jawapan Arul Kanda melalui Bernama TV dilihat bersifat perhubungan awam dan jauh dari kebenaran fakta bagi merungkai skandal 1MDB

Pada kenyataan media hari ini, Pua turut berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Salleh Said Keruak Keruak kerana membenarkan RTM mengadakan siaran langsung rancangan temu bual itu.

Pua yang ketika dihubungi MalaysiaKini pula berkata: “Ia sepatutnya sesi soal jawab dan tidak berdebat kerana saya bertanya soalan. Tiada apa-apa untuk dia (Arul) bertanya kepada saya.”