Berita

Edry: ‘Saya tak mahu diundi hanya kerana saya Melayu’

KUALA LUMPUR 2 NOV: Pengerusi DAP Bandar Utama, Edry Faizal Eddy Yusof yang tewas pemilihan sebagai Ahli Jawatankuasa DAP Selangor tidak mahu kekalahannya dinilai dari sudut kaum.

Percaya ia bukan kerana berketurunan Melayu sebaliknya kurang dikenali pada peringkat akar umbi, beliau juga tidak mahu menang semata-mata atas faktor keturunan atau kaum.

“Saya percaya kami tewas bukan kerana kami Melayu, tetapi kerana kami kurang dikenali di peringkat akar umbi. Begitu juga saya berharap saya tidak diundi hanya kerana saya berketurunan Melayu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sekalipun fasih berbahasa Mandarin, beliau bersama dua lagi calon keturunan Melayu, Mohamad Samat dan Nor Miswary Ramli yang bertanding jawatan sama turut tewas.

Beberapa media arus perdana kawalan Barisan Nasional (BN) memainkan sentimen perkauman dengan memanipulasi kekalahan mereka kononnya atas faktor kaum, sedangkan mereka kemudian diberi jawatan lantikan.

Bagaimanapun, undi yang diperolehnya mengatasi sokongan yang diterima sebahagian calon keturunan Cina dan India, bahkan ada wakil rakyat dan ahli majlis mendapat undi lebih rendah.

edry_faizal_Justeru, Edry membidas pihak tertentu yang bermain sentimen kaum tetapi menutup sebelah mata terhadap realiti ramai lagi calon dari kaum lain mendapat undi lebih rendah berbanding beliau.

Katanya, ada pihak tertentu mengambil kesempatan atas keputusan pemilihan itu untuk  memainkan sentimen kaum, konon ketiadaan calon Melayu menang membuktikan amalan anti-Melayu.

“Yang tidak berjaya menduduki 15 tangga teratas dalam pemilihan bukan saja Melayu, tetapi juga kawan-kawan keturunan Cina dan India,” katanya.

Beliau berkata, proses pemilihan negeri amat merai suara akar umbi parti dengan kuasa memilih diberi kepada perwakilan cawangan serata negeri, sekali gus bermakna semakin seseorang itu dikenali semakin cerah peluang dipilih.

 

 

Gambar utama dipetik dari The Malaysian Insider