Berita

Mirip skandal ‘derma’ Najib, buka semula kes RM40 juta Musa Aman

KUALA LUMPUR 2 NOV: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin mendesak Kerajaan Persekutuan membuka semula siasatan skandal RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan seorang ahli perniagaan balak, Michael Chia.

“Jika skandal ‘derma’ RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang disiasat, mengapa skandal RM40 juta tidak dibuka semula?” katanya yang menyifatkan kedua-dua kes itu banyak persamaan.

Beliau berkata, Ketua Menteri Sabah itu disyaki mendapat dana dari ahli perniagaan balak yang kemudian disalur sebagai ‘derma’ kepada UMNO Sabah manakala Perdana Menteri pula dikatakan memperoleh ‘derma’ dari Arab Saudi.

“Mohon Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan, buka semula kes itu,” katanya yang mengesyaki lebih USD100 juta diberi sebagai komisen kontraktor balak Yayasan Sabah.

jimmy wong2Mengikut siasatan kes membabitkan SPRM dan keterangan SPRM dan maklumat ICAC di Hong Kong sebelum ini, wujud pemindahan RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah kerana ia dikatakan derma politik kepada UMNO Sabah.

Pada 16 Oktober lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Jingga 13 membuat laporan polis berikutan Najib enggan mendedahkan penyumbang wang berkenaan kepada UMNO Sabah.

Pada 14 Ogos 2008, Michael Chia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong apabila wang berjumlah RM40 juta (mata wang Singapura) ditemui dalam bagasinya ketika mahu menaiki pesawat menghala ke Kuala Lumpur.

Justeru, Jimmy yang memperoleh maklumat tertentu, menggesa BNM dan SPRM menyiasat dua akaun di Zurich iaitu UBS AG 231117 dan UBS AG N/A 21010109.

Beliau khuatir jika kes RM40 juta melibatkan Musa tidak dibuka semula, kebarangkalian untuk kes ‘derma’ RM2.6 bilion melibatkan Najib bakal ditutup begitu sahaja.

“Ini ‘adik abang’ punya kes. Kedua-duanya kes derma. Dulu, bila RM40 juta itu dikatakan sebagai ‘derma’ kepada UMNO Sabah, kes dianggap selesai,” katanya.