Berita

Nelayan Teluk Intan tiada jeti, DAP lancar kutipan RM10

TELUK INTAN 3 NOV: Pusat Komuniti DAP Teluk Intan melancarkan kempen derma bina jeti RM10 untuk mengutip dana bagi pembinaan jeti nelayan di Kampung Esso di sini, sebelum membangunkannya secara gotong-royong.

Pengerusinya, Dyana Sofya, berkata Impian Perak kelolaan DAP Perak menyumbang RM10,000 tetapi ia belum mencukupi bagi menampung kos pembinaan iaitu sekitar RM26,600.

Katanya, ia perlu berikutan permohonan jeti sudah berulang kali dibuat kepada pihak berkaitan tetapi tidak mendapat maklum balas memuaskan manakala jeti sedia ada yang mereka bina sendiri, sangat daif dan berbahaya.

dyanaBeliau berkata, ia satu projek untuk memperkasa golongan nelayan di kampung, selain mengukuh hubungan dengan wakil rakyat setempat dan memupuk semangat kemasyarakatan.

“Kita terima aduan nelayan mengenai masalah kekurangan infrasturuktur jeti. Jadi, kita bantu malah melancarkan kempen derma RM10 untuk mengutip dana selebihnya,” kata beliau pada kenyataan media, hari ini.

Sumbangan boleh dibuat kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar melalui akaun Ambank: 888-1000-8146-23

Kampung penempatan Melayu itu dihuni 80 keluarga dengan 30 daripadanya adalah nelayan, malah sebahagiannya adalah generasi kelima keluarga nelayan yang mencari rezeki di Sungai Perak di sini.

Ia terletak di sepanjang persisiran Sungai Perak yang hanya dua kilometer dari Bandar Teluk Intan tetapi pembangunan di perkampungan itu, jauh ketinggalan.

Wakil nelayan, Abdul Manan Abdullah berkata, pembinaan jeti penting bagi memudahkan mereka menaikkan tangkapan ikan, selain berfungsi sebagai tapak untuk turun ke sungai.

gambar kg esso3“Bot perlu ada jeti untuk berlabuh tetapi kemudahan tidak ada. Jeti yang ada kami bina sendiri, daif dan berbahaya tetapi kami perlu melaluinya demi mencari rezeki di sungai,” katanya.

Beliau mewarisi kemahiran menangkap ikan dapipada bapanya dan beliau adalah generasi nelayan kelima tetapi tidak pernah memperoleh lesen sebagai nelayan.

“Sudah lima kali saya membuat permohonan mendapatkan lesen nelayan di Jabatan Perikanan Hilir Perak tetapi kecewa tidak pernah mendapat jawapan pun,” katanya.