Berita

Gobind bantu keluarga Melayu kes mati dalam tahanan polis

KUALA LUMPUR 4 NOV: DAP akan membantu keluarga Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur, mangsa yang mati dalam tahanan polis di balai polis Sungai Rengit tahun lalu, mahu memfailkan saman terhadap polis dan Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, berkata saman sivil itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Baharu dalam minggu pertama Disember ini bagi menunjukkan kes berkenaan serius.

“Wujud kekasaran fizikal terhadap mangsa yang membawa kematiannya,” kata peguam itu pada sidang media hari ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Kulai, Teo Ni Ching dan bapa mangsa, Mohamed Nur Ali.

SUFI0863Gobind berkata, keluarga mangsa kesal berikutan kes itu tertangguh kira-kira setahun walaupun mereka ada menulis surat kepada Ketua Polis Negara tetapi tiada maklum balas.

Katanya, keluarga mangsa kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mengesahkan polis menggunakan kekerasan fizikal terhadap mangsa semasa dalam tahanan.

Beliau berkata, laporan EAIC pada 30 Oktober lalu itu menyebut berlaku keganasan fizikal polis semasa siasatan yang mengakibatlam kematian Syed Azlan pada 3 November 2014.

“Bedah siasat pada 4 November 2014 menunjukkan, mangsa mati akibat trauma hentakan tumpul pada dada, selain 61 jenis kecederaan pada muka dan tubuh,” katanya.

Gobind berkata, mangsa ditahan sekumpulan 13 anggota polis dalam serbuan di sebuah bilik sewa sekitar jam 3 pagi sebelum dibawa ke balai polis Sg Rengit untuk siasatan kes pergaduhan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa pada jam 7 pagi hari sama dibawa ke sebuah klinik sebelum disahkan mati.