Berita

Hapus monopoli internet elak kelajuan ‘lembab’ tapi mahal

KUALA LUMPUR 5 NOV: Masalah kelajuan internet di Malaysia hanya pulih dengan menghapus amalan monopoli perkhidmatan syarikat pengendali, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin.

Beliau menyifatkan langkah drastik dan serius perlu dibuat bagi memilihkan kelembapan kelajuan internet sedangkan kadarnya jauh lebih mahal berbanding negara lain yang lebih ‘laju’.

“Caj perkhidmatan internet di Malaysia mahal tapi perlahan. Internet di Vietnam dan Kemboja lebih maju manakala Malaysia hampir tiga kali lebih perlahan daripada Vietnam.

“Antara punca utama ialah kerana monopoli perkhidmatan dan tiada persaingan. Saya mahu tanya, adakah menteri setuju supaya monopoli dihapuskan?” katanya pada kenyataan media, baru-baru ini.

Satu laporan kaji selidik atas talian oleh Ookla Net Index sebelum ini turut meletakkan Malaysia di tangga ke-126 daripada 196 negara dari segi kelajuan internet di dunia.

Lebih teruk, mutu perkhidmatan internet di negara ini ketinggalan di belakang Kemboja dan Vietnam berdasarkan kajian yang dilakukan pada Mei 2013 hingga April 2014 itu.

Telekom-Malaysia-TM-logoPengerusi DAP Sabah itu turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada syarikat tempatan di Sabah dan Sarawak mengendalikan perkhidmatan jalur lebar yang diyakini lebih baik daripada pengendali sedia ada.

“Tanpa persaingan, kualiti perkhidmatan tak akan pulih. Harga pun mahal. Saya harap syarikat tempatan Sabah dan Sarawak juga boleh diberi peluang,” katanya.

Dalam Bajet 2016 baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan memperuntuk RM1.2 bilion untuk menambah baik infrastruktur telekomunikasi termasuk kabel dasar laut.

Tahun lalu, sebanyak RM2.7 bilion diperuntuk bagi membina 1,000 unit menara telekomunikasi dan pembinaan kabel dasar laut manakala dalam Bajet 2014 pula, Sabah dan Sarawak mendapat peruntukan RM850 juta untuk membangunkan kabel dasar laut.